BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Selasa, 30 November 2010

Banyak Kerja

Asalnya saya berhajat untuk berkongsi perihal dosa Lee Kuan Yew memenjarakan Said Zahari selama 17 tahun berdasarkan buku yang dikarang oleh Said Zahari sendiri. Sayangnya, masa tidak mengizinkan maka saya ambil sebuah "kata sakti" yang dipetik dari buku Stephen Tan sebagai rumusan. Maka ini sajalah usaha yang mampu dilakukan dalam kesempatan yang sedikit ini. Kata-kata yang dimaksudkan itu berbunyi sebegini:


"Faith is the force of life"
Leo Tolstoy

Isnin, 29 November 2010

Cermin Biasan

Salam kembara.
Tiada penulisan buat hujung minggu lepas kerana penulis pulang melawat mertua yang jauh di mata. Awal pagi tadi baru pulang ke rumah, lebih kurang jam 4. Jarang benar penulis pulang awal pagi namun pagi ini berlain benar. Lebuhraya kelihatan sunyi, hatta lori ikan pun tiada kelihatan. Cuma beberapa kereta dan bas kilang. Keadaan sebegini pastinya membawa penulis bersyahdu barang seketika. Alangkah bagusnya jika setiap masa lalu-lintas kekal sebegini setiap masa. Jika begitu, alangkah indahnya hidup di kota. Apapun penulis menyedari, itu sekadar idaman yang surreal, ibarat mengharapkan bahasa visual Salvador Dali menjadi benar nyata. Apa yang tinggal sebenarnya cumalah dunia yang sesak dan kaku, yang dilakar seperti jasad asalnya oleh ketekunan sang photorealist/ hyperrealist, sebagai bukti kewujudan hidup yang beku, jumud dan mengada-ngada.

Tiba-tiba terbit rasa hormat mendalam penulis kepada manusia seperti Ralph Goings dan Denis Peterson, yang sebelum ini penulis rasakan sekadar manusia gila dan hyper yang bersusah-payah untuk menzahirkan sesuatu yang terlalu banal di atas kanvas. Sampah dilukis sebagai sampah, jelas, tepat dan nyata. Kerana itu barangkali para photorealist/ hyperealist ini sering dikritik dan disalah-anggap sebagai manusia superficial. Mulut pengkritik "bangsa" sebegitu, seperti jua para "profesional" lain yang dibayar upah, pastinya selalu mahu sensasi dan mengada-ngada.

Foto di atas : lukisan bertajuk "Apocalypse" oleh Denis Peterson. Hak cipta terpelihara Denis Peterson.

Jumaat, 26 November 2010

Mandi Hujan

Bingkisan kali ini berbicara soal mandi air hujan. Main hujan adalah satu perlakuan yang sinonim dengan dunia kanak-kanak. Hujan memberi sensasi dingin pada tubuh. Hujan juga adalah kebasahan yang dinanti-nanti pada mereka yang jarang dapat peluang mandi di sungai, laut atau hutan lipur. Main hujan juga menjurus ke arah kemarahan dan barangkali hingga menerima "libasan pari" dari ibu bapa. Apa pun dugaannya, mandi hujan tetap digemari kebanyakkan kita masyarakat Asia Tenggara (mana fakta dan statistik soheh yang kau pakai ni Karim? - Mama Auwzie) dan mandi hujan juga sangat didambakan oleh musafir kelana di Gurun Gobi atau Sahara.

Namun bagi mereka yang kekal gemar bermain hujan di usia dewasa, pendapatnya berbeza. Dalam kajian ringkas ini, nama pihak yang menjadi kajian kes terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan adu domba dan buruk sangka. Bersekutu dengan hujan sebenarnya membawa manifestasi asas fitrah manusia iaitu ingin selalu berdamping dengan alam. Bermandi hujan memberi isyarat bahawa hujan itu harus diraikan, pada yang mahu. Jika tidak percaya, tanyalah pada tanam-tanaman, itu pun jika tanaman boleh menjawab kembali. Namun begitu, adalah disarankan tidak bertanya soalan yang sama pada mangsa banjir, dikhuatiri akan menyentuh jiwa.

Seperti dalam memahami pelbagai perkara di dunia ini, kita perlu sedikit ilmu dan budi bicara. Anda tidak digalakkan bermain hujan di waktu awal hujan turun kerana air hujan ketika itu sarat dengan "kotoran" dan mampu menyebabkan demam. Begitu juga dengan hujan panas, tidak indah untuk diraikan kerana ia turun tidak lama dan cepat menyentak suhu badan anda. Akhir sekali, janganlah bermain hujan di waktu petir sabung menyabung (sila kaji jenis-jenis hujan kategori "berbahaya" untuk info lanjut), kerana anda sebenarnya menyabung nyawa dalam mendapatkan secebis rasa bahagia.

Sketsa Hidup

Bayangkan diri anda berada dalam situasi melucukan, bila mana diri ini dijadikan medan mengadu nasib buat tiga pihak yang sedang bergasak, berkelahi perkara remeh mahu pun berat. Pertarungan 3 penjuru, anda pula tak semena-mena mendapat "kerja", jadi biro aduan tanpa tauliah.

3 pihak berselisih faham. 3 pihak saling menghentam. Masing-masing tidak mahu menyerah kalah dan saling mengeji yang lain. Desakan survival itu membuat ada orang menggunakan nama Tuhan untuk memberi pernyataan bahawa Tuhan bersamanya, dalam masa sama membuktikan betapa Tuhan redha padanya, semuanya kerana mahu menang berkelahi saja sebenarnya. Lebih menyedihkan, bila bersumpah-sumpah bagai. Mengapa begitu? Rasanya lebih elok jika saling lengkap-melengkapi dan dalam masa sama, cuba mengerti kekurangan diri.

Khamis, 25 November 2010

El Loco

Entah apa kejadahnya, hujan yang turun membuat diri terkenang perkara luar jangka. Saya bukanlah peminat tegar sukan bola sepak. Namun ketika ini, kenangan datang menjelma, peliknya soal penjaga gol lagi. Kali ini perihal bekas penjaga gol kontroversi skuad kebangsaan Colombia. Pemain berambut kerinting dan berkumis ini punya cerita tersendiri yang menghiasi karier sukannya yang penuh warna-warni. Personaliti yang dimaksudkan di sini adalah Jose Rene Higuita Zapata.

Higuita terkenal sebagai penjaga gol yang memiliki reputasi "sedikit keterlaluan". Sifat berdengung beliau seakan sukar dibendung. Beliau sukar mengenal erti segan silu - tiada ketakutan dalam membiarkan gawang terdedah hanya untuk berghairah menggelecek lawan - berlagak sebagai midfield, malah adakala bertindak lebih "menggila" bagai striker, jauh meninggalkan gawang sendiri ternganga terlopong. Jurulatih mana yang tidak berpeluh dingin bila punya anak didik seperti Higuita? Namun, nama Rene Higuita kekal harum mekar di hati penyokong fanatik skuad Colombia, diangkat sebagai salah seorang wira kebangsaan.

Masih jelas dalam ingatan, saat saya dan ahli keluarga ketawa berdekah-dekah gara-gara menyaksikan video aksi Rene "El Loco" Higuita melakukan aksi menyelamat gawang - gaya alternatif yang sangat radikal, dikenali sebagai scorpion kick save. Menyelamatkan gawang dengan tangan dirasakan amat membosankan bagi El Loco!

Penghormatan - Karel Stromsik


Sajak khusus buat bekas penjaga gawang skuad Selangor 1989 - 1991

Arumugam dasyat
Ong Yu Tiang cekap
Namun kau juga hebat

Tanpa perlu mengunyah chewing gum
apalagi memakai aksesori tambahan
untuk kelihatan "best" di dalam padang
Aksi dalam ingatan
Jasa dalam kenangan

Peminatmu,
Karim
Pinggiran Kotaraya
12 Zulhijjah 1431

Semangat Lamina

Kepenatan bertukang berjam-jam lamanya tidak dirasakan. Tung tang tung tang - berpeluh berahi. "Biar putih tulang!!!!". Kayu pemidang dipotong cermat dengan pengamatan tinggi, kanvas diregang, ketat dan sendat, dipasak rapi dengan dawai kokot heavy duty. Beraksi penuh gaya, lagak pemandu Land Rover lasak berdengung dalam iklan Camel Trophy 80-an... atau barangkali Marlboro Man yang cekap menangkap lembu dalam pertarungan penuh debu - sehingga terlupa memakan karipap yang digoreng oleh isteri "Ah! Tidak mengapa. Esok masih boleh makan karipap" getus hati saya. Isteri yang mengerti tiada perlu banyak memberi komen, wanita hebat tak perlu berleter (semestinya ha ha ha). Lama rasanya bersunyi dari persada melukis, tiba-tiba sesuatu yang ala-ala "semangat lamina" datang merasuk. Kanvas putih berseri menanti, diam bersandar di dinding, seakan sabar menanti, sebelum menerima "libasan pari" pertama di hari minggu nanti (jika saya mahu). Harus makan karipap sekarang. Jika tidak migrain, pulang kerja esok boleh mula buat study.

Rabu, 24 November 2010

Hujan Dinihari

Mahu bersendiri, namun tidak sanggup bersendiri. Kerapkali sebuah "pelarian" itu jadi tidak lebih dari sekadar "berlari" hanya kerana diri dirasakan harus/ wajib berlari, barangkali kerana "semua orang sedang berlari jadi saya pun harus berlari juga". Berlari dan lelah, namun entah ke mana. Resah eksistentalisme manusiawi - ibarat minyak dijilat api.

2:18 pagi

Selasa, 23 November 2010

Di Tengah Kota

kita manusia tiada berkuasa
untuk menghalang dunia berputar


Macam menyindir pula lagu Alleycats yang berkemundang dari corong radio buatan Nilai itu. Degup nadi kotaraya ini selalunya kencang. Penghuninya seringkali tergesa dan selalu gugup. Bahasa kotaraya pula selalunya dingin, nadanya seringkali sinis dan bingit. "Cepat lah sikit! Cepat! Cepat!" selalu meniti di bibir. Jika nasib kurang baik, "Hoi! Terkebil-kebil apa lagi? Lembab!" pasti cepat menjadi santapan rohani.

Namun dalam kekalutan itu, saya pasti - ramai sebenarnya yang melopong dan ternganga. Dalam mengelak diri dari diperkecilkan, ada yang secara semulajadi menjadi pakar dan bijak menduga makna. Sakit hati dan  kecewa selalunya ditelan begitu sahaja. Ini Kuala Lumpur, masa selalunya diburu, bukan untuk dimiliki. "Siki jam saja abang, saya bini tarak guna! Banyak lama dalam sana, sori ha..". Depresi, jamban awam busuk, double park, berpaling tadah, skandal, pecah amanah dan pujuk rayu ada di mana-mana. Sensasi kotaraya - dikejar diri sendiri.

Hari ini tugasan harian di pejabat berjalan seperti biasa. Wajah tegang dan keliru kelihatan mundar-mandir, berkeliaran dalam gundah. Saya selalu berfikir perihal cara memberi keriangan pada diri di waktu tegang, namun jarang sekali dizahirkan gara-gara "terlena" diulit tugasan. Namun, semua keresahan ini harus ada hadnya, atau harus di berikan pengajaran supaya mengerti ha ha ha.

Demi memberi sedikit erti untuk hari yang "entah apa kejadahnya" ini, maka saya membeli makanan pada kuantiti yang agak luar biasa. Sekali-sekala, apa salahnya "mentekedarah" demi menghargai diri (perut) sendiri. Nasi bungkus RM 8, lauknya saja 5 jenis, fuh! Macam orang kaya-kaya sedangkan kewangan sedikit muram di saat ini ha ha ha. Ditambah pula teh ais padu mencengkam - kepuasan berganda!

Selesai makan seenaknya, saya berehat. Kemudian menonton secara random beberapa siri kartun kesukaan di laman Youtube. Selepas ini, segala ribut taufan akan bermula, ha ha ha bakal ditempuh (harapnya) dengan penuh bergaya. Biaq pi depa...

Isnin, 22 November 2010

Kembali Bersemi

Hai adik-adik,
Ha ha ha ha bukan main ceria, macam Kak Yong dalam rancangan CUMI DAN CIKI pula ya. Sekadar nota pendek, kini Karim dan blog penuh sensasi ini (hmmm..) kembali ke rutin asalnya. Nantikan sisipan harian yang lebih mencengkam, berwarna-warni, menyelongkar tirai suka dan duka kita semua, insan-insani.

Sebenarnya baru-baru ini, saya tidaklah menghilangkan diri ke hujung dunia, cuma agak sibuk mengendalikan sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini. Jadi adalah kurang manis jika menulis blog dalam suasana permajlisan.

Apa pun, izinkan hamba pergi bersiram dan berehat sebentar kerana badan dah berbau macam kibas. Jumpa lagi. Terima kasih daun keladi, kalau sudi komen lah lagi ha ha ha.

di pagi esoknya terlambat bangun
merungut tidur tak puas
waktu kerja mengantuk
majikan marahhhh...


Nota: petikan lirik "Telatah Si Bujang". Siapa berani buat lirik macam di atas, di zaman "serba berani" sekarang? Black Dog Bone berani, tiga puluh tahun yang lalu.

Selasa, 16 November 2010

Siapakah Memberi Khabar

Masih berkesempatan lagi. Rupanya masih ada masa yang terluang dan saya terasa seperti tidak mahu melakukan apa-apa, sekadar bermenung sahaja. Tiba-tiba detik  masa dirasakan sangat perlahan tatkala memori bertandang. Dalam diam meredah masa, tubuhku bercalar-balar...

Isnin, 15 November 2010

Kacang Goreng

Cikgu : Karim, siapakah pengasas hukum graviti?
Karim : Olivia Newton John, cikgu.
Cikgu : Ha ha ha
Karim : Kenapa cikgu?
Cikgu : berdiri atas kerusi!

Siapa Indiana Jones?

Saya bukanlah peminat filem kategori tegar, ada juga menonton namun jarang sampai ke hujung cerita. Kerana itu, isteri tidak suka mengajak saya menonton wayang gambar kerana sering tertidur diulit kedinginan panggung. Kerana itu juga, sidang kaki-kaki busuk di ofis juga jarang mengajak saya berbual soal filem. Manakan tidak, apa yang saya tahu cumalah P. Ramlee, Esok Masih Ada, The Sounds of Music, Circle of Two dan Ode to Billy Joe (sekadar contoh) sedangkan lain-lain filem kesukaan saya cumalah yang berbaur murah, senang, kitsch, dan bongok... Jadi malu jugalah nak berkongsi dengan sidang kaki-kaki busuk.

Entah bagaimana, tiba-tiba mereka bicara soal Indiana Jones. Pot pet pot pet power pot pet pot pet padu pot pet pot pet klasik dan sebagainya. Rancak perbualannya. Tiba-tiba saya naik semangat nak masuk korum. Ada nada sinis kedengaran "Karim, lepak jap. Lepas ni kita discuss pasal drama Opah, OK? wakaka". Kurang asam. Namun suasana jadi tak keruan. Masing-masing memasang telinga mendengar "syarahan" saya mengenai Indiana Jones.

"Mana lu tau nih? Lu Google ka?"

Rupanya mereka tidak menyedari bahaya mereka sedang bercakap dengan seorang fanatik Indiana Jones. Walaupun tidak suka tengok filem, tapi saya sangat suka INDIANA JONES. Mengapa? Kerana ia membawa kenangan zaman kecil saya menonton siri Tarzan dan Combat. Buktinya, lihat gambar, ada boxset yang original, siap dengan extra disc esklusif yang memaparkan babak "the making"-nya, tidak pernah disiarkan di mana-mana panggung atau kaca televisyen. Tiba-tiba...

 "Tolong rip-kan boxset tu, boleh? Syok jugak tu".

Ha ha ha. tak apalah, bagi saja pinjam. "Jaga condition boxset tu, kalau kemek, aku libas kau dengan cemeti Indiana Jones ye"

Jumaat, 12 November 2010

Membawa Diri

Salam kembara.
Di sini adalah dinyatakan bahawa (macam notis robohkan gerai lah pulak) tiada kiriman baru untuk beberapa hari mendatang. Sejak hari pertama penubuhan blog ini iaitu pada tanggal 20 Oktober 2010 yang lalu, saya, dibantu Mama Auwzie tiada pernah "ponteng" dalam menyudahkan setiap tugasan harian yang diamanahkan oleh pihak pengurusan laridariesok.com, demi menyajikan sisipan harian terbaik buat anda semua. Namun, seperti gelora di lautan teduh, ada pasang surutnya. Namun harus diingat - sedangkan bah kapal tak hanyut, inikan pula kemarau panjang (apa kejadahnya!), teruskan membaca dengan penuh rela, tanpa paksaan. Saya akan kembali semula sejurus selesai misi berbahaya dengan lebih banyak bingkisan dan kupasan, yang diharap lebih menyenangkan - dan kekal dengan paksi dan asas blog ini iaitu : bebelan random, seni dan kehidupan. Sebelum berundur, izinkan saya bertanya:

Mengapa anda menulis blog?

Jawab bila sudi nanti.

Salam mesra di angin lalu.

Khamis, 11 November 2010

Hujah

Malam tadi saya berkesempatan menonton siaran Soal Jawab di televisyen. Terkesima. Sudahlah hosnya Datuk Johan Jaafar, salah seorang yang dijemput sebagai panel adalah Prof Madya Dr. Lim Swee Tin. Maka saya kira itu adalah gandingan ideal untuk saling berhujah dan bergasak. Dua orang lagi tetamu yang dijemput itu pula tiada saya ambil kisah sangat kerana, entahlah. "so... so..." gosok-gosok jari, gugup kah? Tutup selera.

Buat yang kurang masa untuk mengerti, penyair Lim Swee Tin adalah seorang kacukan Cina/ Siam yang cintanya pada bahasa Melayu lebih dari kebanyakkan orang Melayu. Sepanjang siaran itu, saya "berhibur" mendengar kelancaran hujah Lim Swee Tin berbicara soal kesusasteraan. Bahasanya seakan "mengalir", cukup buat saya tertunggu-tunggu giliran beliau berhujah. Mempersona, molek sekali kedengaran. Malahan, seni berbahasa itu kekal terpelihara, walau dalam tekanan - membalas hujah dan persoalan, secara spontan, tanpa "so... so... ekceli... emm..".Teringin benar rasanya untuk mendengar beliau mendeklamasi puisi, jika punya kesempatan nanti,.

Memang saya menyenangi gaya beliau berbahasa. Usah memandang luaran, disebalik rambut beliau yang "mengerbang" gaya "headbanger" itu, beliau pernah  menerima anugerah S.E.A Write Award, seperti yang pernah dikecapi Latiff Mohidin, Adibah Amin, Usman Awang dan lain-lain. Semoga beliau panjang umur dan murah rezeki untuk terus menjunjung seni dan sastera. Sejurus tamat siaran, saya terus menggeledah bilik mencari buku Lim Swee Tin yang lama sudah tidak kelihatan. Berikut adalah petikan salah satu puisinya.




SAJAK BURUNG

tak
tak sebebas itu
sebenarnya
bagai dalam puisi
puisimu
di keluasan ruang ini
aku juga terkurung
seekor aku ini
seperti juga engkau
yang selalu mengharap
dan banyak meminta

sumber : AKRAB oleh Lim Swee Tin 1985

"U olz nak tau? Ada satu sajak mak penah masuk majalah Manggis tau! Kebetulan masa tu diorang buat coverage pasal kes cerai artis diva yang meletopzz tu.. jadi mak tumpang glamer sekaki, jangan jelezzz.." Mama Auwzie

Rabu, 10 November 2010

Satu Dedikasi

pen merah
pen biru
you marah
i love you


gambar : penulis di pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu

Yang Merah Itu Saga

yang merah itu saga
yang lorek itu kendi
yang indah itu bahasa
yang baik itu budi


Begitulah bait lirik lagu dari Al-Jawaher yang sering ibu dendangkan ketika menggoreng ikan mahupun menumbuk sambal belacan di dapur, 20 tahun yang lalu. Seringkali, gara-gara terlalu "cerdas" saya menyampuk dengan bait lirik tambahan "yang hitam itu ubat gigi Darkie". Baiklah, sisipan kali ini ringkas dan cepat.

Iklan kosmetik sering kelihatan di layar televisyen. Antara yang sering "menjelma" adalah seputar produk yang memberi jalan pintas buat golongan yang sangat berhajat atau  barangkali punya obsesi "mahu putih melepak seperti si fulan dan si fulan", soal krim pemutihan. Apa yang buat saya sedikit resah (maaf kata) adalah mengapa yang "putih" itu selalu sahaja "molek" dan "cantik", jika tidak masakan masih ada yang bersedih, malu, paranoid dan tiada bahagia dilahirkan sebagai seorang yang "kurang cerah" dan "gelap". Lantaran "pemutihan" terpaksa itu, wujudlah pula krim berformulasi baru, khas untuk  mengatasi "masalah kecerahan tidak sekata".

Indie Rock

Walaupun entah apa-apa, "indie rock" tiba-tiba jadi soal...

Wanita (Sub)Urban : Karim, you nak tau sumthin' tak? - *wink wink*
Karim : Apa kejadahnya?! Saya nak makan karipap pun tak senang....
W : Hey, chill HO-K?! I baru cakap sikit dah naik suara... such a jerk...
K : Bukan, sedap pula karipap nih, sebab itu tinggi suara.. Baiklah, jadi apa persoalannya, cakap saja lah.
W : Ekcelli, selain dari drum 'n' bass, RnB, bla bla bla lately I minat sangat dengar indie rock! So damn good lah for my halwa telinga.
K : Oh. Baiklah. Bagus untuk awak.
W : I prefer kick ass local bands macam Hujan, Gerimis, Mit Angkel Usin, Indie Iklan Cekedis, frickin' awesome lah, takde lah macam all those crappy stuff yang my uncle suka dengar kat satu shitty radio tu. Ala... yang  untuk old farts tu, nama apa? Ha... Klasik Nasional. C'mon lah, At least Lite FM I still boleh tolerate lagi *sigh*
K : Huiyo.. *krup krap krup krap - makan karipap*
W : Well... Eh! You tak minat indie rock?
K : Tak, layan HINDI rock je...
W : Hell yeah banyak lah you! BENCI TAU bercakap dengan  you ni... Bak datang satu karipap!

Selasa, 9 November 2010

Kerja

Sajak terbaru

KERJA
dingin pagi
menusuk ke sanubari
seperti tidak mahu terjaga
dari lena yang manja
nak pergi kerja?
tak nak pergi kerja?
nak pergi kerja?
tak nak pergi kerja?
nak pergi kerja?
tak nak pergi kerja?
nak pergi kerja?
tak nak pergi kerja?
tiba-tiba
"bekerjalah kamu sebelum kamu dikerjakan"
pergi kerja lah!
harus mandi segera

Karim
Pinggiran Shah Alam
1 Zulhijjah 1431

Isnin, 8 November 2010

Cekodok

Berbicara soal cekodok selalunya akan disertai dengan imbasan masa silam. Cekodok atau dikenali juga sebagai CUCUR KODOK dan CUCOQ KODOK atau COQKODOQZ (di utara tanahair) sering menjadi juadah di waktu pagi dan petang di kebanyakkan tempat, ia seiring dengan populariti lempeng dan ubi rebus. Apa yang nyata, namanya yang tidak sensasi apalagi tiada nilai komersil tidak dapat melindungi kenikmatan rasanya. Cekodok yang asli selalu adalah hasil campuran bahan seperti tepung gandum, garam, air bersih dan ada yang mencampur sodium bikarbonat untuk menjaga keanjalan tekstur dan mengelak dari meletup-letup di dalam kuali (mafkan jika pendapat penulis didapati tidak berasas).

Resipi ringkas turun temurun ini sering saya nikmati sejak dahulu lagi. Di pagi hari ibu akan menyediakan cekodok dan air teh atau kopi sebagai sarapan berkhasiat. Disebabkan saya tiada gemar memakan bawang kecil, ibu akan membuat cekodok "kosong" untuk santapan saya. Jika ada lebihan, saya akan bawa cekodok ke sekolah dan memakannya di kala cikgu tidak perasan kerana sibuk mengajar. Namun selalunya cekodok akan habis sebelum sempat dijadikan bekal. Belum sempat batch kedua masak digoreng, batch pertama sudah tinggal beberapa biji sahaja.

Saya teringat satu peristiwa di mana seorang teman keturunan Tionghua bernama Calvin Yong terpegun dengan keenakan rasa cekodok yang benar membahagiakan. Ketika itu saya bersekolah di Subang Jaya dan  meminati seorang gadis bernama Najiah ha ha ha ha (hai najiah, dah menikah ke belum?). Calvin adalah anak orang kaya, ayahnya bukan calang-calang orang. Saya selalu terliur melihat beliau makan burger sedangkan saya cuma makan burger apabila ayahanda dapat gaji, itu pun 2 atau 3 bulan sekali. Namun pada satu hari Calvin tidak dapat bawa bekal rutinnya iaitu burger. Katanya ibunya sudah berlepas ke luar negeri dan bapanya lambat terjaga dari tidur. Dalam terdesak ayah beliau terpaksa menghantar Calvin ke sekolah dengan berbekalkan duit RM2 sahaja (tahun 80-an belanja 2 ringgit = anak orang kaya).

Saya jadi kasihan pada Calvin kerana dia seperti "jaki" melihat saya makan cekodok secara sembunyi-sembunyi. Saya tahu dia lapar. Maka saya berikan beberapa keping cekodok padanya di waktu rehat. Saya terkesima bila melihat reaksinya. Saya sangkakan beliau tak akan suka. Akhirnya , saya berikan kesemua baki cekodok itu kepadanya, mengapa? Kerana dia sangat suka. Sebagai balasan, beberapa hari kemudian Calvin telah belanja saya makan seketul burger yang digoreng oleh ayahnya.

Saya masih ingat pada si Calvin ini, sekiranya kini dia menjadi "Tai Long besar", ingatlah anda pernah menjamah cekodok masakan ibu ku. Rangkuman kali ini tamat di sini, sehingga di lain masa, salam penuh kemesraan dari penerbit dan krew siaran laridariesok.com

Ulam Raja

Segmen "makanan sihat" kali ini membawa anda menyelusuri belakang rumah anda. Pada yang gemar bertani, cubalah menanam tumbuhan yang dikenali sebagai ULAM RAJA. Sebenarnya, penulis amat menggemari ulam raja untuk dijadikan ulam setiap kali makan nasi. Rasanya seringkali memukau selera. Cubalah menikmatinya, anda akan terasa seperti raja, itulah semangat yang terlindung dalam setiap helaian daun ulam raja. Walaupun prestijnya tidak dapat menyaingi daun salad ataupun tomato kecil, ulam raja tetap mempunyai rahsia kebaikan yang tersendiri.

Tumbuhan ulam raja atau nama saintifikya cosmos caudatus (bahasa Inggerisnya King Salad, wow!) enak dimakan bersama sambal belacan, budu, tempoyak dan cencalok. Menurut sejarah, ulam raja sebenarnya berasal dari Amerika Latin, tumbuh meliar secara semulajadi di kawasan belukar dan hanya dibawa ke Asia Tenggara oleh penjajah Sepanyol ke Filipina dan kemudiannya di bawa ke Malaya oleh sesiapa sajalah (perlu kajian lanjut).

Raja segala ulam ini mempunya khasiat yang amat dasyat dan jarang diketahui kebanyakan kita. Memakannya akan membantu kita memperbaiki peredaran darah dan mencuci darah, serta dapat menguatkan tulang. Keupayaan antioksidanya (AEAC) juga sangat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik. Melebihi dua puluh jenis bahan antioksida telah dikenal pasti dalam ulam raja. Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik, serta penangkap (+)-. Keupayaan ulam raja untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi. (dicedok bulat-bulat dari wikipedia sebenarnya)

Pengaruh ulam raja juga dapat di lihat di dalam dunia perfileman. Jika anda masih ingat, terdapat watak Ismet Ulam Raja di dalam filem klasik 3 Abdul. Malah ulam raja dijadikan nama jalan di sebuah tempat di Shah Alam. Akhir kata, saya menyarankan agar anda semua mengamalkan cara makan berulam untuk memastikan anda tidak perlu berdangdut untuk mengempiskan perut yang gendut, malah harga ulam raja amat berpatutan. Ingat, anda adalah apa yang anda makan, jadi makanlah ulam raja, demi kesejahteraan bersama. Wassalam.

Ahad, 7 November 2010

ULTRAMARINE BLUE

Rampaian kali membongkar perihal pigmen warna, khas untuk yang tertanya-tanya, apa kejadahnya ULTRAMARINE seperti yang tercatat di label media melukis seperti cat air, cat minyak, tempera, akrilik, bla bla bla. Tahukah anda, biru ultramarine (dalam ertikata pigment dari mineral tulen, bukan sintetik) merupakan pigmen yang paling mahal di dunia ini. Ultramarine yang tulen hanya boleh didapati dari batuan semi-precious keluarga lazurite, dikenali sebagai lapis lazuli (cuba ulang sebut laju-laju, terkehel lidah kan?) yang dilombong sejak berabad lalu dan lapiz lazuli yang terbaik dilombong di lembah pergunungan Kokcha, Badakshan, Afghanistan.

Harga sekati (ha ha ha) bagi pigmen ini adalah mahal disebabkan kualiti birunya yang sangat mengasyikkan, malah cara penghasilannya juga sangat rumit. Sekiranya anda melihat ULTRAMARINE pada label botol atau tiub warna anda, ia sebenarnya tidak mengandungi lapis lazuli asli, biru yang anda lihat itu hanyalah "ultramarine" sintetik yang "dilombong" di dalam makmal sains ha ha ha. Sejak kurun ke 19, biru ultramarine telah dihasilkan secara sintetik bagi menggantikan ultramarine tulen yang sangat mahal. Diketahui juga bahawa Muzium Diraja Ontario, di Toronto, Kanada pernah memesan satu tiub kecil ultramarine yang asli dari pengeluar cat Old Holland dengan bayaran $1500.

Namun begitu, banyak lukisan hebat zaman dahulu menggunakan ultramarine yang berasaskan lapis lazuli yang tulen, kesannya anda boleh lihat di kebanyakkan lukisan era renaissance. Itulah biru yang digunakan oleh old-master seperti Titian dan Bellini.

Namun masih ada pengusaha cat minyak premium zaman moden yang menggunakan lapis lazuli untuk biru ultramarine-nya! Jika anda berpeluang ke Amerika Syarikat, cubalah  cari jenama Lapis Arts. Syarikat kecil ini menghasilkan cat minyak gred superior dan setiap tiub dihasilkan berpandukan method tradisional, ia gabungan pigmen tulen dan minyak linseed terbaik, tak silap harga untuk satu tiub 11ml adalah sekitar $80 (Dollar Amerika). Ya, kerana ia mahal, cuma biru ultramarine yang dihasilkan dalam tiub kecil 11ml sebaliknya 34 warna yang lain dijual dalam tiub 37ml, dan contoh pigmen dicalit secara manual pada label, tidak dicetak molek dan cermat seperti jenama Sennelier, Yarka, Rowney, Windsor & Newton dan lain-lain. Nampak gaya Lapis Arts seperti tidak mahu berkompromi dengan gaya pemasaran moden, produk mereka cuma untuk pelukis yang sangat cerewet (dan "terlampau" banyak duit).

"Dulu masa kekecik mak suka masuk peraduan mewarna sebab dapat pensel Luna free.. Balik rumah terus mak guna Luna tu buat eye shadow thihihi" - Mama Auwzie

Soal Hutang

"Ustaz, apakah hukumnya sekiranya saya bermimpi berhutang dengan seseorang? Wajibkah saya membayar hutang itu?"

"WAJIB"

"Wajib??! Mengapa? Saya cuma bermimpi berhutang dengan orang itu"

"Hukumnya tetap wajib, awak telah bermimpi berhutang, jadi awak wajib bayar hutang itu"

"Nak bayar macam mana? Saya sebenarnya tak berhutang dengan dia pun"

"Wajib, awak wajib bayar hutang itu, di dalam mimpi juga"

"Ha ha ha"

Terima kasih untuk sahabat..

Sabtu, 6 November 2010

Latif Ibrahim

Di remang wajah senja, dikala unggas bernada sayu, dua sahabat "berpadu".. Di bawah rumpun bambu...

Hezrik Jamil Hafifi Bin Embong : Kau tau tak Karim? (buat muka berprestij)
Karim : Apa kejadahnya?!
H : Aku teringin benar nak jadi macam Latif Ibrahim...
K : Adakah kau cuba berlucu? Tone suara kau rasanya macam Axl Roses kena tiroid, sengau-sengau basah saja...
H : Apa kejadahnya engkau ini Karim?! Aku cakap soal nak jadi pelukis! Jadi painter! Tak reti??!
K : Oh ya ka? Maaflah... Tak tahu pula penyanyi lagu "Nora" dan "Pilihlah Aku"  itu dah jadi pelukis sekarang. Lagi pun jarang nampak dia keluar TV.
H : hah? dia dulu menyanyi ke?
K : Ya, suara padu menangkap beb. Boleh bikin asmara kau bergoncang.. Tak tahu pula dia aktif melukis sekarang.
H : Lailahaillaulahmuhammadurrasulullah... Hey kucing!! dia dah melukis lama dah, tak tau ke? I pity the fool...
K : Serius? Aku baru tahu dia seorang pelukis. Jadi bagaimana hasil kerja dia? Hebat? (tak mahu bertekak)
H : Aku rasa kau ni banyak makan sagu, itu pasal la bingai. Dulu kau juga yang bagitau aku perihal dia.
K : Siapa ni sebenarnya?
H : Ala, yang siri Pago Pago tu lah!
K : Pago Pago? Astaga... Latif Ibrahim itu penyanyi 70-an, abang Khatijah Ibrahim lah, bongok! Pago Pago tu Latiff Mohidin.
H : Hah? Ya ka? Ampun kan aku Karim ha ha ha ha ha ha
K : ha ha ha ha ha ha

Nota Kaki : Dear customer, you have exceeded the 5GB/mth usage (Celcom FUP). Pls purchase additional volume or we reserve the right to control yr broadband speeds. TQ (Amboi! Gertak ya!)

Hidup yang Bagus

Berikut adalah hasil dari lawatan mengejut ke ____ (rahsia) pagi tadi. Bermula dengan sarapan minum root beer dan makan burger (macam mat salleh gayanya) diikuti dengan pembelian berbahaya, 4 keping LP super-classic penuh gaya. LP kugiran The Animals itu agak mahal, namun demi "House of the Rising Sun" diturutkan jua...


Root Beer

Apa kejadahnya pagi pagi lagi saya "mengidam" nak minum root beer. Mahu ke A&W? Itu All American Food, AmeriKKKa, imperialis, cowboy, kapitalis, kuat makan burger, berjambang pakai baju wifebeater minum whiskey, rednecks, kuasa nuklear, polis dunia, bla bla bla.. tapi saya nak minum juga sebab ianya sebahagian dari kemahuan hedonistik tekak yang selalu ingin berbahagia, lagi pun A & W bukanlah laku sangat macam Mek Donel dan tidak menggunakan buruh paksa bawah umur untuk goreng burger ha ha ha. Ini fastfood gaya orang tua sudah pencen ha ha ha.

Nota kaki : penulis masih muda dan bergetah, cuma gemar gaya lama. Harap maklum


"Mak nak ikutttt... Mak bawak hamster dalam sangkar skali boley?" Mama Auwzie

Bahasa Kontot

Saya agak keletihan dan malas malam ini gara-gara terlalu banyak bersosial bersama GG. Selepas selesai beberapa perkara wajib di rumah, saya melayari internet sebentar dan mengemaskini mel elektronik, bimbang kalau-kalau Nina Persson atau Natalie Imbruglia ada menghantar email cinta berahi ha ha ha.

Agak melucukan juga kerana salah satu dari 3 email adalah kiriman adik perempuan (paling bongsu) saya sendiri, agak menggusarkan ha ha ha. Adik seorang yang separa manja, bila terasa bosan pasti adik akan hantar email pada saya (kerana ibu tidak galak adik menggunakan telefon bimbit). Rumah ibu pun tidak jauh, sepelaung sahaja. Dahulu adik pernah buat joke perihal perkataan "klise" tapi kini lain pula ceritanya.

"Abang, kenapa abang letak "konformis tahi ayam" kat blog hah?" begitu bunyi petikan yang paling merimaskan.

Disebabkan saya berasa agak payah nak berhujah, malas, maka saya pergi ke laman sesawang Dewan Bahasa untuk mencari sumber bantuan memandangkan saya berasa sangat malas ketika itu, seperti seekor sloth, atau mungkin juga beruang koala. Hasilnya seperti yang dilampirkan dalam paparan "skrin tembak" di bawah. Muat naik dan kirim bersama sedikit penerangan ringkas. Lega. Harap adik tidak bertanya banyak lagi.



Tidak lama kemudian, saya terima email balasan. Bunyinya lebih kurang "Abang, apasal Dewan Bahasa pon guna bahasa short-cut???". Saya menjadi celaru, "besok lah abang balas, abang nak tengok Anakku Sazali kejap" jawap saya di dalam hati, tak balas email pun, malas. Saya pasti satu hari adik akan bertanya apa kaitan perkataan "konformis" itu bercantum dengan "tahi ayam" pula. Harus pergi ke rumah ibu pada kadar segera untuk memberi penjelasan. Nak tergelak pun malas, tergelak dalam hati.

Jumaat, 5 November 2010

Syahdu Pagi Deepavali

Saya singgah di sebuah bank konvensional pagi tadi atas urusan pemindahan wang merangkap derma bakti untuk adik yang bersendirian, nun jauh di rantauan. Hah! Macam dah berjanji pula, saya terpandang satu susuk tubuh yang sangat dikenali. Teman lama sewaktu di sekolah menengah.

"Din" dia menyapa sambil menghulur tangan. Wajahnya bengis, matanya bulat, sedikit tiada senyum. GG tersengih memerhati dari jauh, dia sudah faham.
Walaupun "Din" bukanlah nama saya seperti yang terpapar di kad pengenalan, namun itulah panggilan nama yang beliau berikan untuk saya, SETIAP kali bersua, dan setiap kali bersua pun atas kehendak takdir, tidak pernah pula berjanji temu.

"Din, kau ada rokok?". Saya hulurkan padanya sebatang.
Kemudian...
"Aku tau tengok muka kau mesti ada rokok, sebab tu aku kenal kau... Din, aku dengar Angah kerja bawak bas sekarang, betul ke?" seraya berlalu tanpa sempat saya memberi jawapan.

Seperti biasa, tiap kali dia berlalu pergi, saya berasa seperti "kesurupan" dalam bersyahdu. Dia dahulu seorang kawan yang periang dan sering jadi tumpuan kerana jenakanya yang high class. Beliau ada identiti tersendiri, disukai ramai kawan. Kami pernah bermain dalam satu pasukan bolasepak yang sama, seorang penjaga gol yang baik. Namun kini hidupnya seperti membeku, apa yang diperkatakannya selalu berkait soal hidup 19 tahun yang lalu. Gaya bahasanya sama, seperti zaman awal remaja kami. Sesekali beliau gemar bertanya tentang sahabat lama, termasuk sahabat yang sudah lama meninggal dunia! Saya tiada berani mengatakan beliau sebagai gila, namun hati kecil berdoa agar beliau sihat selalu, dan hidup "sempurna" sebagai golongan bertuah yang terselamat dari dugaan menanggung dosa.

Khamis, 4 November 2010

Nuffnang

Macam tak percaya, baru benar rasanya saya menzahirkan kewujudan blog ini. Masih belum bertunas dan belum sampai sebulan. Entah kenapa minat ber-blog datang semula (ee... mistik-nya...) setelah bersara dari mem-blog dan menggob-blog sejak 2007(kehilangan kata laluan)  dan 2005 (gulung tikar).

Dipendekkan cerita, asalnya saya sengaja meletak iklan Nuffnang sebab nak tahu "nikmat" dan "keenakan" yang diperkatakan kebanyakkan blogger berkaitan Nuffnang ini. Namun hari ini, kebetulan saya berasa terpanggil untuk membuka akaun Nuffnang dengan niat untuk melihat analitik terkini. Alangkah terkejutnya campur nak tergelak apabila melihat saya sudah mula menerima earning melalui kempen CPC Nuffnang. Saya masih berasa hairan, apa pun terima kasih kepada semua pembaca yang membantu dalam "membanjirkan" blog ini sebagai kelompok "unique visitor". Kepada yang tidak "unique" itu juga diucap terima kasih, anda semua tetap unik kerana menjadikan blog ini sebagai santapan rutin ha ha ha.. Namun saya tiada berniat untuk membeli rumah banglo andainya "earning" saya mencecah RM3 juta suatu hari nanti (ha ha ha), cukuplah untuk buat modal beli buku dan piring hitam second-hand di Amcorp Mall sebelum minum root beer dan makan "gorengan kerinting" di A&W, itu sudah memadai. ha ha ha.

nota kaki: tak mahu tunjuk screen shot, takut jatuh syirik.

Ladang Haiwan

Kali ini kita berbahasa Inggeris sebentar, ada cuba menterjemah namun hasilnya berbunyi sedikit "tidak selesa", perlukan kepakaran dalam mengolah secara tepat supaya tidak terpesong maknanya. Petikan dari sebuah buku, dituju khas buat yang mengharap, yang diharapkan dan yang tidak boleh diharap.

1. Whatever goes upon two legs is an enemy
2. Whatever goes upon four legs, or has wings, is a friend
3. No animal shall wear clothes
4. No animal shall sleep in a bed (with sheets)
5. No animal shall drink alcohol (to excess)
6. No animal shall kill any other animal (without cause)
7. All animals are equal (but some animals are more equal than others)

animal farm, animal farm,
never through me shalt thou come to harm!

Klise

Klise, klise, klise. Jangan terkejut, perkataan yang "macam best saja" itu sering kedengaran kebelakangan ini, di pejabat, di kedai mamak, apalagi dalam  blog. ("mak tak guna klise, trendy sangatlah, mak slalu guna U OLZ saja kay.." - Mama Auwzie)Klise, klise, klise. Apa kejadahnya klise ini? Koman? Cokia? Haprak? Bosan? Tanpa disoal, jawapan adakalanya seperti datang sendiri. Apa yang tidak klise di dunia ini? Banyak soal yang berulang-ulang, sembab dan sebu. Ramai orang mencebik tidak suka perkara klise, biasalah. Soal bersekutu dengan perkara harum, manis dan membahagiakan memang fitrah manusia. Itu belum soal siapa pasti masuk syurga dan siapa wajib masuk neraka. Namun dalam menjarakkan diri dari klise, barangkali ada yang terlepas pandang betapa realiti itu sebenarnya, rujuk - hidup ini, boleh jadi hanyalah rangkuman jutaan perkara gila dan hambar, yang terusan berulang dan terpaksa ditempuh sehari-hari. Hidup ini dilingkari klise, iaitu di sini, diri saya sendiri sebagai contoh. Membaca tabloid yang punya headline sensasi seperti "Jerat Cinta Awang Hitam" tidak buat saya jadi inferior, membaca buku yang serius dan thought provoking  juga tak buat saya rasa superior. Nietzsche atau Man Laksa, saya dan anda, tetap sama manusia. Klise tetap klise, klise gaya urban, klise gaya kampung, apa sajalah. Hidup sebagai manusia, mati nanti pun seperti yang lain-lain juga. Klise lagi.

dan lahirlah anak mu
menjadi beban misteri hidup ini
dan mulanya cemburu dan benci
di antara insan-insani

oh Qabil
kerana kecantikan kau durhaka
maka Habil
engkau menjadi mangsanya

Lari Dari Apa?

Rabu, 3 November 2010

Suara Maskulin

Di pejabat ini, saya tiada otoriti dalam menentukan siaran radio mana yang harus ke udara. Diterajui seorang kakak yang bersikap agak totalitarian (gaya Lenin), maka, saya menerima apa sahaja yang berkumandang, adakalanya sedikit mengganggu fikiran kerana berlaku konflik selera. Namun ada satu lagu yang membikin saya ketawa dalam berdiam, disenandungkan kugiran ngetop dari seberang. Setiap kali lagu itu berkumandang, saya akan mengira berapa kali vokalisnya akan mengulang "wooo hoooo hooo", terhambur keluar ibarat wap panas di puncak Merapi, penuh gaya maskulin. Rasanya vokalis itu sengaja memperjantankan lagi suaranya yang sudah sedia menjantan. Terlalu mengeksploitasikan kelebihan diri. Ada juga di bahagian tertentu lagu dia seakan mendesah, ghairah, bunyinya "ahhhh....".

"Heii.. Macam orang nak berjimak saja bunyinya" Mama Auwzie

. (bahagian IV)

. (bahagian III)

Pok pok keropok
Kero pok kopok ketok ropok
Pok keporok okok kaporok arbok
Saya makan keropok

"Heiii.. apa kejadahnya pantun ittuw.." Mama Auwzie

. (bahagian II)

Nyep
Nyup nyep
Nyep nyap nyup
Nyup nyep nyip nyip
Nyip nyep nyap nyup nyip
Nyep nyep nyep nyap nyot nyet
Nyap nyap nyep nyep nyep nyat monyet

.

.
.
.
.

Kiriman Lewat Malam

Lewat 11.45 malam, baru selesai membasuh dan menyidai pakaian di jemuran. Isteriku sudah hanyut beradu, syahdu kelihatan. Televisyen menyiarkan lumba motorsaikel, tak minat. Saya cuma berminat menonton lumba motorsaikel berkuasa kecil sahaja, contohnya cup prix dan cup cross sebab nampak kelakar ha ha ha. Apa pun masih menanti penuh debaran siaran "The Best of Retro" di TV2 sebentar lagi, iaitu siri THE PERSUADERS! Jadi saya tuliskan nukilan ini untuk mengisi masa terluang sementara menanti siaran. Bagi yang kurang arif, The Persuaders! merupakan siri aksi gaya lama (produksi tahun 1971-72 jika tidak silap), unggul penuh sensasi diterajui dua orang playboy lasak. Roger Moore dan Tony Curtis bergasak, berpadu tenaga membanteras "kedurjanaan dunia". Harus sediakan secawan kopi sebentar, kita jumpa lagi.

Selasa, 2 November 2010

Sekolah Berasmara Penuh


Pengalaman tinggal di sekolah berasrama (bukan ber-asmara tau!) mendedahkan diri ini kepada sebuah dunia baru. Kenangan 16 tahun yang silam datang menjelma. Saya, selaku "Mat Kenang-kenangan" yang agak "sudah season" adakala tergelak sendiri mengenang semua itu. Pelbagai fe'el dan ritual pelik masih terpatri dalam memori. barangkali ada kisah yang layak untuk mendapat siaran Ripley's, Believe It or Not! juga... Contohnya, ada pelajar yang terkenal panas baran, buas, bengis dan digeruni namun pernah kelihatan mandi di shower  sambil berghairah menyanyi lagu sensasi  Feminin "kini" yang diminati ramai ketika itu. Itu belum bercakap soal penggunaan kod rahsia dan secret society murahan (punya Ahli Majlis Tertinggi sendiri!) yang diwujudkan untuk bersaing dengan kuasa ketua pengawas.

Ketika itu, saya masih muda benar. Akal masih belum panjang, nafsu dan selera juga tajam bergelora, sifat kamikaze itu, nyatanya seperti sering saja dipaksa-paksa kan. Contohnya, berlaku tragedi membakar baju batik seorang pelajar Sekolah Sains Selangor hanya kerana sekolah kami kalah main rugby. Akibatnya budak itu naik bas mini pakai singlet sahaja. Selain itu, pernah beramai-ramai melarikan diri dari asrama kerana mahu menonton konsert rock di malam merdeka dan variasi kedurjanaan itu terlalu banyak untuk diceritakan.

Semua itu kesan rasa setiakawan terlampau, obsesi untuk bersekutu dengan kumpulan sangat kuat, mahu "belong" dengan clique, yang majoritinya samseng-samseng belaka. Pihak sekolah sudah tidak mahu lagi menanggung aib, rotan dan penampar pun sudah tiada berguna. Semua permasalahan tamat apabila kami dibuang asrama, seorang demi seorang, secara sistematik. Tapi dalam ramai-ramai guru, pasti ada seorang dua yang memahami. Mereka menyayangi kami dan kami sangat hormat pada mereka, Puan Stella dan Cik Rohaidah.

Akhir kata, adik-adik di luar sana jadilah pelajar yang baik, rasa "cool" itu mainan perasaan sahaja, tak siapa peduli pun sebenarnya kerana kita tidak hidup di dunia ini seorang diri sahaja. Bila adik sudah berjaya (ikut visi masing-masing), baru cakap kita "laku", tak perlu susah tarik perhatian sesiapa lagi. Kalau mahu jadi penyanyi rock, rock-lah betul-betul macam uncle Amy Search. Kalau  nak jadi peguam, boleh berguru dengan Karpal Singh ha ha. Faham? Selamat berjaya untuk adik-adik yang sedang mengambil peperiksaan. Perkemaskan kawalan kendiri, salam sukses di angin lalu.

"Hey Karim, kau pun masuk angin keluar asap juga" 

Isnin, 1 November 2010

Erti

Benar saya ini tidaklah gemar tergelak percuma begitu saja, tapi yang ini cukup "menyentuh" dan "mencengkam" ha ha ha. Tidak dapat dipastikan secara objektif perihal mistik dan metaforanya, tapi nyata kelihatan atau persis seperti BELIAU. Ha ha ha. Teringat pada satu lukisan Allahyarham Pak Ibrahim Hussein, tak silap saya tajuknya "Mengapa Kamu Begitu?".

Kiriman Masa Kecederaan

Kalau orang itu perangainya, maaf kata, perangainya macam biawak, maka dia memang berperangai seperti biawak tidak mengira apa jenis "label" dan "cap dagangan" yang ter-chop di dahinya, agamanya, mau pun mazhab politik dan warna kulitnya. Kita yang selalu cuba berwarasan sebenarnya punya potensi yang sama. Maksud di sini, kita BOLEH, jika kita MAHU, bila kita CUBA mengelak dari meniru fe'el biawak dengan mengawal diri dari terlalu banyak melakukan perkara yang sinonim dengan sikap tidak elok seekor biawak . Kelak, tidak mungkin sewenang-wenangnya kita digelar-gelar orang sebagai "jelmaan" biawak jua adanya. Jumpa lagi.




"Akak rasa kau pun menulis macam ala-ala biawak juga, payah akak nak faham!" Kak Ita
"Kau orang manusia yang fe'el macam syaiton nirrojim, aku pulak dijadikan perumpamaan. Busuk punya orang!" (The Real) Biawak

Setapak

Hari ini semacam ketandusan "modal" untuk di-blog kan.





Gambar : 
"Kesesakan Lalulintas dan Kekurangan Petak Parkir Di Setapak Membikin Kak Eton Naik Berang"