BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Isnin, 8 November 2010

Cekodok

Berbicara soal cekodok selalunya akan disertai dengan imbasan masa silam. Cekodok atau dikenali juga sebagai CUCUR KODOK dan CUCOQ KODOK atau COQKODOQZ (di utara tanahair) sering menjadi juadah di waktu pagi dan petang di kebanyakkan tempat, ia seiring dengan populariti lempeng dan ubi rebus. Apa yang nyata, namanya yang tidak sensasi apalagi tiada nilai komersil tidak dapat melindungi kenikmatan rasanya. Cekodok yang asli selalu adalah hasil campuran bahan seperti tepung gandum, garam, air bersih dan ada yang mencampur sodium bikarbonat untuk menjaga keanjalan tekstur dan mengelak dari meletup-letup di dalam kuali (mafkan jika pendapat penulis didapati tidak berasas).

Resipi ringkas turun temurun ini sering saya nikmati sejak dahulu lagi. Di pagi hari ibu akan menyediakan cekodok dan air teh atau kopi sebagai sarapan berkhasiat. Disebabkan saya tiada gemar memakan bawang kecil, ibu akan membuat cekodok "kosong" untuk santapan saya. Jika ada lebihan, saya akan bawa cekodok ke sekolah dan memakannya di kala cikgu tidak perasan kerana sibuk mengajar. Namun selalunya cekodok akan habis sebelum sempat dijadikan bekal. Belum sempat batch kedua masak digoreng, batch pertama sudah tinggal beberapa biji sahaja.

Saya teringat satu peristiwa di mana seorang teman keturunan Tionghua bernama Calvin Yong terpegun dengan keenakan rasa cekodok yang benar membahagiakan. Ketika itu saya bersekolah di Subang Jaya dan  meminati seorang gadis bernama Najiah ha ha ha ha (hai najiah, dah menikah ke belum?). Calvin adalah anak orang kaya, ayahnya bukan calang-calang orang. Saya selalu terliur melihat beliau makan burger sedangkan saya cuma makan burger apabila ayahanda dapat gaji, itu pun 2 atau 3 bulan sekali. Namun pada satu hari Calvin tidak dapat bawa bekal rutinnya iaitu burger. Katanya ibunya sudah berlepas ke luar negeri dan bapanya lambat terjaga dari tidur. Dalam terdesak ayah beliau terpaksa menghantar Calvin ke sekolah dengan berbekalkan duit RM2 sahaja (tahun 80-an belanja 2 ringgit = anak orang kaya).

Saya jadi kasihan pada Calvin kerana dia seperti "jaki" melihat saya makan cekodok secara sembunyi-sembunyi. Saya tahu dia lapar. Maka saya berikan beberapa keping cekodok padanya di waktu rehat. Saya terkesima bila melihat reaksinya. Saya sangkakan beliau tak akan suka. Akhirnya , saya berikan kesemua baki cekodok itu kepadanya, mengapa? Kerana dia sangat suka. Sebagai balasan, beberapa hari kemudian Calvin telah belanja saya makan seketul burger yang digoreng oleh ayahnya.

Saya masih ingat pada si Calvin ini, sekiranya kini dia menjadi "Tai Long besar", ingatlah anda pernah menjamah cekodok masakan ibu ku. Rangkuman kali ini tamat di sini, sehingga di lain masa, salam penuh kemesraan dari penerbit dan krew siaran laridariesok.com

8 ulasan: