BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Ahad, 31 Oktober 2010

Petang Ahad

Tiada yang lebih syahdu dari kunjungan lewat petang ke Amcorp Mall, Petaling Jaya. Kata GG "nak tengok orang Serani lah!". Ya, saya pun setuju. Di sana memang ada orang Serani, tapi tidaklah seramai mana. Namun, pelbagai keturunan dilihat rukun damai berniaga di "meja merah", sesekali kelihatan berbual sangat mesra.




"You suka apa? Itu heavy metal  macam Iron Maiden mau ka?"
"Tak ada lah! Itu Al-Jawaher, Herman Tino, err.. lagi sama itu Julie Remie ada?"

sementara itu
"Hello brother! Ini new arrival, boleh browse browse"
"Ya ha ha ha, ya ya ha ha ha, fuahh.. ini baru turun  kontena ka? Ha ha ha"


Pusat beli belah ini punya "jiwa" yang berlainan, ertinya tidak sama seperti berkunjung ke The Garden atau Pusat Pakaian Hari Hari (motto: cantik di hari, mudah di hati, apa punya "sadistic" rima itu!). Kalau nak tahu, datanglah sendiri. Kami riang membelek-belek piring hitam, barangan antik, buku murah, amplifier dan pelbagai barangan audio moden dan gaya lama. Hati rasa terhibur. Terhibur dalam gundah, esok mahu berkerja semula.

Hajat hati untuk membeli piring hitam (format 12"LP) The Stylistics dan The Three Degrees lenyap begitu saja gara-gara kehadiran SMS berunsur "tenaga jahat" bertali arus. Demi kewarasan dan budi bicara, saya berdiam sahaja, rosak sudah kedamaian hari minggu ini.. Lantas, GG menjadi mangsa. Beliau terpaksa menadah telinga mendengar luahan nurani sehingga jam 8.30 malam. Terima kasih buat GG.

Hah? Dah Hilang?

Pihak pengurusan blog ingin merakamkan jutaan ampun dan maaf atas "kehilangan" shoutbox kami. Kami terpaksa memadam kewujudannya berikutan laporan dari unit trafik laridariesok.com yang menyatakan telah berlaku limpahan kunjungan luar dugaan. Ini sedikit sebanyak merencatkan usaha kami dalam mencapai sasaran ISO 9004. Pihak kami tiada daya dan kelengkapan untuk mengawal keadaan. Di harap pihak tuan/puan tiada berasa hati dan teruskan menyokong bolg ini, itu pun KALAU ANDA BENAR SUKA. Membaca amalan mulia.

Yang Benar,
ASAM MASIN
b/p Pengarah
laridariesok.com

"Eeee.. Plizzz!! Kau tau nyah, management selalu peras ugut, asyik torture mak suruh buat blogwalk. Apa mak dapat? Nak beli spender bundle pun tak lepas. Terguris jiwa yang halus ittuw, kalau macam nih terpaksa kitorang bikin union" - Mama Auwzie

Sabtu, 30 Oktober 2010

Kebebasan

Sajak minimalis petang Sabtu yang sa-dingin thalju

Kebebasan
Kebebasan itu
adalah
"abah kau"

Jumaat, 29 Oktober 2010

Sebab Musabab

Petua Awet Muda

Ha ha ha. Baiklah, akhirnya saya menyerah pada desakan melampau para pembaca blog (yang tidak sepertinya ini) yang mahu saya mendedahkan rahsia awet muda. Walaupun berusia pertengahan 30-an, saya masih mengekalkan kecergasan, malah enthusiasm yang tinggi terhadap kehidupan tiada pernah padam, keren banget. Klik gambar di sebelah untuk merasakan getarannya...

Manusia

Andai Vlad The Impaler dan Elizabeth Bathory masih hidup di zaman ini, tentu mereka akan sedar, bahawa sebenarnya, mereka masih tidak cukup kejam.



Gambar hiasan : Edvard Munch "The Sick Child"

Khamis, 28 Oktober 2010

Irama Mistik

Wacana kali ini sedikit pelik. Kalau berkesempatan menonton iklan American Tourister di televisyen, pasti anda akan mendengar satu selingan lagu (jingle?). Iramanya sangat menakutkan, kesan traumatik segera terpahat, semudah itu!. Pada saya itu bukan typical American, tapi itu muzik pyscho Eropah Timur!!! Ia mengingatkan saya pada karya melancholic melampau Rezso Serez, yang juga dikenali sebagai The Hungarian Suicide Song, iaitu "Gloomy Sunday" (saya tak pasti judul asalnya)... atau mungkinkah melodi yang agak cryptic "Those Were The Days" dendangan Mary Hopkins, yang sebenarnya di-cilok dari komposer Russia terpinggir lantas kerana itu liriknya kedengaran tidak cocok dengan melodi (pendapat saya). Adakala diri berasa hairan, mudah benar saya terserap ke dalam jiwa sesuatu muzik, tak kira bagaimana facade-nya cuba memberi gambaran yang lebih enak merdu, atau saya yang memberi jiwa salah untuk sesuatu muzik itu? Usah bicara perihal irama Ulik Mayang atau gamelan gaya Bali, itu cukup menggetarkan dan sangat mistik. Namun, ini juga bukan soal mistik murahan rekaan syarikat rakaman, ini soal perkara yang benar MENAKUTKAN.

E-Rokok

Kiriman kali ini khas menyentuh perihal rokok. Bagi yang tidak merokok sila jauhi dari membaca entry yang berkepul-kepul ini. Zaman sudah berubah, siapa yang nak menghisap rokok daun nipah? Saya ada terbaca perihal rokok elektronik yang dikenali sebagai E-Cig (stylo nama dia). Pasti anda pelik, apa kejadahnya E-Cig ini? Macam E-Cinta ka? Bagaimana pula ia membantu perokok tegar dalam mengatasi syahwat masuk-angin-keluar-asap ini? Adakah ini akan menjadi berita baik untuk mereka yang mendambakan "less harmful nicotine fix"? Barangkali ada benarnya, perokok cuma mahu sensasi menyedut, memegang puntung rokok dan menghembus asapnya. Tak percaya, cuba merokok di dalam gelap gelita, rasanya seperti tidak puas (dan sesak napas! ha ha)!!

"You'll see "smoke" coming out of your mouth, just like a cigarette. Except it's not a smoke, it's a vapour".  Kata pengarah syarikat itu (Rujuk akhbar The Sun, 18 Oktober). Bunyinya macam merdu, tapi setahu saya, cartridge-nya sahaja (macam printer lah pulak) berharga RM40 hingga RM350 ha ha ha. Khabarnya ada yang berhenti merokok selepas dua bulan selepas menggunakan rokok tiruan itu. Tapi sebenarnya rokok elektronik telah pun di haramkan di 14 buah negara! Sudah tentu ia berbahaya.

Teringat satu dialog di gerai makan:
"Kau tak cuba guna ubat berhenti merokok tu ke? Aku dengar mujarab"
"Tak nak lah"
"Kenapa? Mahal eh? Tak mujarab?"
"Bukan, nanti dah berhenti tak seronok pulak, tak dapat merokok lagi"

Rabu, 27 Oktober 2010

Gara-Gara Seluar

Suatu ketika berlangsung cheap sale melampau di sebuah pusat beli belah, segala umat bersesak-sesak. Lelaki dan wanita berpusu-pusu mengabiskan duit. Di satu sudut... (berdasarkan kisah benar)

Karim (Pelanggan) : Kak, saya nak seluar ini
Ita (Promoter) : Hah? Untuk siapa?
Karim : Iya Kak, seluar ini. Untuk saya lah.
Ita : Tapi tak boleh dik
Karim : Lah, apa pasal? Saya bayar cash lah kak
Ita : Bukan macam tu...
Karim : Dah tu? Ada orang dah booking kah?
Ita : Bukan. Kalau adik nak yang sesuai, pergi ke belah sana tu (tunjuk lokasi)
Karim : Tak, saya nak yang cutting macam ni, nampak rock sikit
Ita : Maaf dik, tolong lah jangan  buat akak macam ini...
Karim : Masalahnya, saya nak yang ini. Akak  ni kenapa?? Aduuuu...

Ita : Tak boleh dik, ya ampunnn...
Karim : Kak, saya kata saya nak seluar ini, dan saya nak bayar harganya! jadi apa masalahnya?
Ita : Adik, masalahnya ini seluar perempuan OK!! Tak reti???!!

"Mak yang vogue and very the diva ni jugak yang untung, pergi department mana pun promoter tak marah" - MAMA AUWZIE

GEMPAR! Sotong "Psychic" Piala Dunia 2010 Meninggal Dunia

Petikan berita AFP 

BERLIN (AFP) - – Paul the octopus, who shot to fame during this year's football World Cup for his flawless record in predicting game results, has died peacefully in his sleep, his German aquarium said Tuesday.

Pagi dan Mel Elektronik

Hi Husni,

WE're planning our calendar for next year. 
Anything interesting? :) 
Hear from you. Thanks! 

Best regards,
Maria Chua

 
"Apo aku nak buat ni??"

Selasa, 26 Oktober 2010

Art Expo Malaysia 2010

Hari ini saya terima kad jemputan (melalui pos, setemnya 60 sen!) dari Art Expo. Pada sesiapa yang berminat silalah datang melepak-melepak sambil melawat ruang pameran yang mewakili banyak galeri yang mengambil bahagian, dari Korea ada, dari Hungary ada, dari Bangsar pun ada ha ha ha.

Seperti tahun lepas, pengangkutan bas pengantara (shuttle bus) disediakan dari dewan pelepasan KL Sentral, khas bagi yang kurang pasti lokasi ekspo ini (bangunan Matrade yang berlubang di tengah itu lah!). Saya tidak dibayar untuk menyiarkan iklan ini. Sekadar berkongsi informasi (sebagai seniman prihatin).memandangkan saya tiada baju batik/ smart casual (hatta batik asrama sekali pun..) sebagai attire permajlisan, rasanya saya tidak pergi ke majlis perasmiannya. Mungkin akan ke sana di hari minggu. Bawalah sepanduk bertulis "ASAM HARAM" dan saya akan mencari anda. Terima  kasih.

info lanjut :
www.artexpomalaysia.com
info@artexpomalaysia.com

Studio Lukisan

"anda seorang yang memalukan, anda bersepi dan dalam masa yang sama, kekal berghairah mencumbui kebisingan hidup ini"

Paparan eksklusif kali ini membawa anda ke studio _____. Menurut sumber, Mendiang Francis Bacon pernah dilihat mengunjungi studio ini ha ha ha.

Hujan Malam



HUJAN MALAM

Isteriku Nurhasreen
melihat kau tidur di waktu hujan malam
aku berasa sedih
benar hujan itu rahmat yang membanjiri bumi
namun aku tiada sanggup 

melihat kau kesejukan

Isnin, 25 Oktober 2010

Kecanduan Internet

Dalam awal tahun ini, ada sebuah forum dalam talian yang agak berpengaruh (nama dirahsiakan) dan berpengkalan di Amerika Syarikat telah ditutup secara tiba-tiba. Hal itu menyebabkan para ahlinya naik berang, naik hantu, naik minyak dan memprotes (secara dalam talian juga!). Moderator tidak melayan segala rintihan dan rayuan, para ahli pula seperti layang-layang terputus tapi. Satu-satunya mesej yang diberikan oleh pengelola forum terbabit ialah (setelah dialih bahasa) "SESEKALI KITA PERLU TUTUP KOMPUTER, HIDUP SEBENAR ADA DI LUAR SANA".

Ahad, 24 Oktober 2010

Pintu Taubat Masih Terbuka

Pesan Joe (Gagak Hitam):

"Sepatutnya dari dulu kau baca blog ini...."

Terkesima Dibuai Rasa

Tak sengaja terjumpa buku nota lama, lantas diri terkesima dibuai kenangan. Lucu juga nak menerobos jiwa jejaka bujang (ketika itu he he). Antara yang mencuit rasa adalah 2 nukilan yang dikarang khas untuk sayembara murahan (namun tiada terlaksana) di tahun 2007. Terimalah, sumbangsih yang tidak sepertinya ini:




KETIKA DIRI DILUPAKAN
Sahabat
Aku terlupa siapa dirimu sekarang
Bukan teman berjenaka bersenda
Kerana kau kini isteri orang


Sahabat
Sentuhanmu masih seperti dahulu
Cuma kini, waktu mu sedikit untuk ku
Kerana kini kau suami orang

KESABARAN
Dibeli tidak dapat
Dijual tidak laku
Dimakan tidak kenyang
Diminum tetap dahaga
Dicuri tidak hilang
Digadai tiada nilai
Diperam tidak masak
Disorok tidak lapuk
Ditolak tidak jatuh
Dibakar tidak hangus


Kesabaran
Buat diriku rasa disayang

12:10 tengahari
12 Mei 2007

Tidur dan Persidangan

Seperti sudah jadi ritual wajib tradisi turun-temurun, persidangan dan perwakilan mengantuk sudah jadi seperti dua perkara sinonim, ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan. Seperti esok lusa sudah tidak boleh tidur lagi... Teruk sangatkah mengantuknya? Masakan gaji anda tidak cukup untuk membeli, contohnya sepeket serbuk Kopi Janda (supaya rasa sehat bergelora)? Lain kali, kalau nak bersidang, jangan terlalu banyak makan pulut dan nasi lemak.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Segalanya Di Sini... Menggamit Memori

A tanpa B dan B tanpa A.
B tanpa A dan A tanpa B.

Hari sebelum kau hadir...
Bila marka cabut lari,
teringat "The Winner Takes It All" (hmm, intense emotion...).
Bila kena kapur dengan client,
teingat "Waterloo",
Bila pokai tak ada duit,
teringat "Money, Money, Money".
Bila nyanyi dalam jamban,
teringat "Super Trouper"
Bila tengok minah rempit menonggeng atas motor
teringat "Does Your Mother Know?"
Bila marka ajak makan Kentucky,
teringat "Mamma Mia",
Bila tengok budak sekolah pakai Blackberry,
teringat "Hole In Your Soul"
Bila adik aku balik dari Kem Terendak,
teringat "Me and Bobby and Bobby's Brother"
Bila terbau ketiak masam dalam LRT,
teringat "Another Town, Another Train",
Bila dengar rekod ABBA,
hati berkata "Thank You For The Music"...


Nota kaki: 4 tahun yang lepas, seorang teman yang menetap di Sweden mengaku dan bersumpah bahawa rumah sewa (istana sangkut) beliau terletak cuma sepelaung sahaja dari kediaman akak Agnetha Faltskog! Menurut beliau, Kak Agnetha tak ada masalah melepak dengan jiran-jirannya dan sangat rendah ke bumi (down to earth). Baiklah, terimalah sedikit sumbangsih, khas untuk peminat tegar dan pelayar blog yang tidak sepertinya ini. Di rip dari sumber asal, sebuah EP dalam format vinyl (piring hitam terbang) keluaran tahun 1981. Maaf kiranya terdapat banyak surface noise dan berlaku skip di beberapa bahagian lagu. Jarum turntable dah menipis...

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit

Anda runsing dengan isteri yang suka mengamuk? Atau kekasih terlalu suka mengungkit tabiat (juga tebiat) buruk dan sisi gelap anda? cubalah petua ini. Mungkin kerukunan hubungan dan kasih sayang akan kembali bertaut buat anda berdua. Selamat beramal.


UCAPAN KHAS: Selamat pengantin baru buat Hafiz dan Shai, semoga berbahagia, rukun damai ke anak cucu.

Jumaat, 22 Oktober 2010

EDISI KHAS : Usahawan Internet Terlampau

Terima kasih kegilaan. Selamat tinggal kegilaan. Selamatlah hendaknya terusan menggila dan menjadi-jadi. Hidup lebih nyaman dan membahagiakan kini. (Biasala, propa lebih. Bila delete blog nih pulak? Meletopzzz you allzzz! - MAMA DENGKI) . Kelihatannya ego kebanyakkan kita selalunya lancar sahaja di FB, apa pun hujahnya... kun fayakun! Selamat maju jaya untuk semua.

Aku Budak Minang

Dihanyutkan ke air yang deras,
dibuangkan ke tanah yang gersang..

Semua bermula di hujung tahun 80-an. Zaman abah saya mendengar keputusan bola sepak melalui radio berkuasa bateri (tiada elektrik di tempat tinggal saya, guna generator saja). Zaman ternanti-nanti siapa juara Pujaan 10 Nescafe setiap pagi Ahad (hingga kini masih menghafal jingle-nya). Zaman artis tempatan masih boleh jual kaset sampai 200,000 unit. Zaman keluarga saya bergelak (malah adakalanya berguling) sakan menonton sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu...

Baiklah, kisah bermula. Selepas mengumpul sedikit wang hasil dari penjualan handle dan sepit udang basikal lama kepada abang sepupu dan sedikit upah membeli ubat nyamuk (ye la tu!!), saya berjaya membeli beberapa buku. Antaranya seperti Biggles di Timur (edisi 1979, seken-hen, kisah perang), Lari Dari Esok (nama blog ini, juga sebuah translasi, Escape From Tomorrow karya asal Sereta Lanning) dan yang pastinya tidak kurang mengujakan : koleksi AKU BUDAK MINANG.(info lanjut dari blog lama saya yang kehilangan kata kunci sejak 2007, aduh!)

Waktu itu pesta ria (funfair) agak popular, dan saya punyai seorang mak cik yang muda belia dan sangat rapat dengan saya ketika itu. Kesukaannya ialah "mencolek" saya untuk dibawa keluar, "Nak ikut acik tengok konsert tak? Nanti acik belanja oren botol". Kerana kelicikan beliau memujuk dan merayu jugalah saya berkesempatan menyaksikan persembahan artis seperti kugiran gitar rancak Rockers dari Singapura, Alleycats, Medicine, Skyfire (Bibiyana Layola dan Ochee) dan beberapa nama lagi.

Namun yang paling seronok ialah apabila mendapat koleksi original ABM (cetakan pertama 1988) siap dengan tandatangan penulis/ pelukisnya sendiri, Ujang! Seingat saya, tengah hari yang terik itu dirasakan amat dingin dan membahagiakan, dan malamnya pula saya terlupa makan nasik. "Konyang dek Ujang yo lah kau!" kata emak.

"Kau ingat buat kartun macam buat lempeng?" - UJANG

Socrates

"By all means marry; if you get a good wife, you'll be happy. If you get a bad one, you'll become a philosopher."

Socrates / Classical Greek Athenian philosopher



* gambar sekadar hiasan

Khamis, 21 Oktober 2010

Puasa Melukis

Ini ulasan untuk pameran lukisan saya (bukan solo) yang terakhir. Boleh tahan juga pencapaian. Dapat juga saya yang semi-pro ini "bergasak" dengan pelukis muda profesional (dalam seni rupa, umur 40 pun di anggap muda). 2009 tahun yang indah untuk karier melukis sambilan saya. Menempatkan diri sebagai finalis anugerah Malaysian Emerging Artist 2009 itu pun sudah lebih dari memadai. Macam terkena voodoo, hingga kini masih tidak percaya. Terima kasih banyak buat kumpulan MATAHATI. Mempamer lukisan di bangunan Soka Gakkai yang bertingkat-tingkat itu cukup mengujakan. Malah saya tidak biasa bersosial gaya orang atasan, nak minta karipap pada pelayan pun saya segan. Minum kopi pun tak puas (segan nak refill). Namun di tahun 2010 sepatutnya saya berusaha menaikkan "status" dan "ranking" (Ranking? Ahaha... Ada MAK kesah??!! - Mama Auwzie). Tapi... Kenapa saya tidak "merebut" peluang?

Adalah seketul kanvas jut (bapak tebalnya macam guni padi), dua ketul kanvas biasa 180cm x 150cm dan satu ketul hampir 2 1/2 meter (bapak besaunya) tapi semuanya tak siap. Akhirnya SATU HAPAH pun tiada. Seperti orang yang mood swing (ataukah MISKIN JIWA?), segala bagai botol linseed, thinner, berus, cat minyak dan lain-lain disimpan di atas tangki air supaya tidak kelihatan dek mata.

Sebenarnya masih ada 3 buah lukisan yang masih bersemadi di RA Fine Arts yang masih belum diambil hingga kini... Maafkan saya Raja Ahmad dan Nor Suraya. Memang seronok kalau menjual lukisan, terasa dipermasyurkan, dan barangkali datang sifat "koya" tapi masih dalam kawalan (saya juga manusia)... Namun.. Saya tidak berniat melukis untuk menjadi kaya. Rasanya saya perlukan lebih masa untuk lebih memahami apa kejadahnya sebab musabab saya melukis. Lukisan atas kanvas terakhir saya adalah potret akrilik seorang bos besau di MBSA.

Hibernasi ini terasa cukup panjang, menconteng sekali pun tetap tidak mencapai klimaks (Astaga!! - Mama Auwzie). Biarlah, berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian, tiada apa yang dikejar dan disibuk-sibukkan dalam mencari diri ini (pooooraahh!! - Mama Auwzie). Katalah saya cuba ber-romantis atau terlalu berfantasi kisah gila pelukis sewel, kenyataannya diri tetap begini, tidak prolifik dan loyar buruk.

INI DIA (kredit untuk ARTERIMALAYSIA.com)

Mak Roko

"Look, it's my misery that I have to paint this kind of painting, it's your misery that you have to love it, and the price of the misery is thirteen hundred and fifty dollars."

Cemburu bila dapat tahu ada sahabat sealiran yang sudah tengok lukisan Mark Rothko yang tulen di Tate Modern. Kami memanggilnya MAKROKO, Berbual, menganalisis (ha ha ha), berbual, berbual, mengumpul dan berbual lagi tentang apa sahaja perihal si Makroko ini. Pelukis penuh tragis kesukaan kami - sedangkan gaya lukisan beliau cukup saya benci kali pertama melihatnya bertahun dahulu. Setakat ini saya cuma mampu memberi apresiasi melalui buku panduan Tate Modern sahaja. Tunggulah bila sudah berduit sikit nanti...

Kerja

Terima MPR (Mesej Pesanan Ringkas) dari seorang teman lama, 3.25 petang:

Kerja di bengkel banyak ni. 
Nak berak pun tergendala.

(Jangan provoke hokaayy? ada MAK kesah???!! - Mama Auwzie)

Buku Seringgit

Saya bukanlah ulat buku, walaupun fikiran saya kadang-kadang terasa "berulat-ulat" tapi mengada-mengada saja yang lebih. Ada musimnya saya gemar membeli buku, terutamanya bila adanya Pesta Buku yang menjanjikan cheap sale pada kadar melampau. Saya menggemari publikasi "berseni", yakni penulisnya mendampingi sesuatu disiplin seni serta budaya tempatan. Satu ketika di sebuah pusat beli-belah yang kekurangan pengujung (?) dan mungkin sudah suratan, saya berkesempatan "membeli" terjemahan Gitanjali (karya epik Tagore) oleh Latiff Mohidin yang near-mint condition dengan nilai RM 1 (singgit je? Biar betik!!).  Sehingga kini masih terkebil-kebil mencerna, harganya mungkin RM 1 tapi kesannya pada skala diri, nauzubillah! (Iya? ada MAK kesah???!! - Mama Auwzie )

Namun ada masa sedikit pengorbanan diperlukan sekiranya bertemu dengan judul yang mahal harganya. Kerana itu saya terpaksa berpuasa di tempat kerja selama 3 hari gara-gara membeli Garis - Dari Titik ke Titik edisi tulen DBP keluaran tahun 1988 pada kondisi yang sempurna. Kulit tebal, beratnya saja sudah beberapa kati, dan harganya cukup menyesakkan dada. Buku itu benar-benar menyingkap tabir rahsia penyair/ pelukis bermisteri lagenda,  Latiff Mohidin. Namun peliknya, setiap kali membelek buku itu bukan lagu "Siapakah Memberi Khabar" (lagu Zubir Ali/ puisi Latiff Mohidin) yang berkumandang di telinga, tapi lagu Herman Tino "Ojo Kesandung" pula yang menjadi OST ha ha.

Perangai

"...Maka tertinggallah mereka di tempatnya itu juga tiada naik-naik: jika berkuli maka berkulilah juga seumur hidup"

Petikan Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri
oleh Pendita Za'ba

Rabu, 20 Oktober 2010

Berbual Kencang

"Hipster! Zaman ini jadi hipster pun boleh kaya Dol!"

"Macam mana nak jadi hip?"

"Kau tak payah susah masuk Akademi Fantasia. Muka kau macam belacan. Suara pun tak sedap! Masuk Raja Lawak, Raja Lawak sendiri pun tak kelakar, inikan pulak engko! Ermm..."

"Dah tu? Macam mana nak hip jugak?"

"Kau buat blog la, apa lagi. Kena ada attitude, meng-google pun kencang dan paling penting, skill kitar semula musti ada lah! Tibai je posting sensasi, panas, gossip hangat, buat fitnah, lagi bagus kalau kau selalu jadi yang pertama! Isi nombor dua, yang penting masyukkkkkk.. Satu hari 18 juta viewer. Dah popular baru kau cucuk jarum, barulah hip. Silap haribulan kau publish manifesto sendiri ha ha. Zaman la ni, orang tua pon jadi hipster kau tau! "

"Chill dude... mari aku belanja kau makan"

Pada sudut pandangan saya yang tidak sepertinya ini, hak menulis blog itu adalah milik semua orang. Apa pun kita masih punya hak untuk membaca blog mengikut "perisa" dan kehendak selera masing-masing. Memang kadangkala kita terpaksa memaksa untuk membaca sesuatu yang diluar kehendak, tapi sudah namanya pun hidupnya di dunia, jangan sampai Paul si sotong (sensasi Piala Dunia 2010) tu pun mula memblog, nahas manusia.

Piring Hitam

Kiriman kali ini menyentuh soal reproduksi bunyi. Bagaimana medium tertentu seperti plastik vinyl boleh "menyimpan" bunyi? Bagaimana pula piring hitam di hasilkan? Dari pengalaman sendiri, saya dapati kualiti audio format analog jauh lebih "hidup" berbanding simpanan data digital cakera padat moden. Anda harus cuba dahulu sebelum percaya. Saya berdoa agar format piring hitam akan kekal, sekurang-kurangnya untuk 50 tahun lagi.

Di Malaysia, rekod piring hitam terakhir dikesan pada awal 90-an. Kebanyakkan cuma untuk kegunaan juruhebah radio. Sehingga hari ini, teknologi mencetak piring hitam (yang kedengaran ketinggalan zaman) sebenarnya masih diusahakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Republik Czech, Jepun dan Australia, sekadar menyebut beberapa contoh. Di Malaysia, piring hitam sudah lama berkubur. Budaya konservasi juga nampaknya agak menyedihkan. Kalau sudah tak menguntungkan, lantas dibuang terus! Namun para peminat dan pengumpul piring hitam di Malaysia tetap semarak dengan "kegilaan" mereka! "collect tetap collect!". Piring hitam tidak pernah jatuh harga, malah kian berharga. (Mak bukan tak suka, kellaass jugak piring tu, tapi ada MAK kessaahhh???!! - Mama Auwzie)


TENGOK SINI

Salleh Ben Joned

Hantu dan aku
berkhalwat,
masuk kelambu
mengenal kebogelan.
Petikan sajak "Hantu" oleh Salleh Ben Joned

Salleh Ben Joned. Menyebut namanya sahaja boleh bikin kedai mamak jadi haru-biru. Malah sebahagian dari sesiapa pula bisa mencebik sinis, tak kurang juga yang menyanjung sehingga sengaja menambah-nambah perisa. Kali pertama saya terdedah pada puisi beliau sudah cukup membuatkan diri ini berasa terhumban ke ambang apokalips. Bahasanya kerapkali sedikit kesat, jarang harum manis. Salleh ini bukan untuk dicuba-cuba. Pernah seorang teman merungut panjang selepas membaca "Bladi Bastet!",  buat pertama kalinya! Itu kata orang namun saya kira Pak Salleh cuma bersuka-suka dengan kesukaan beliau, iaitu menulis seperti itu! Setidaknya saya tidak cepat bersentimen sebelum terjun ke jurang polemik pak cik Salleh, makanya saya kekal seorang pembaca yang gembira.

Sajak-Sajak Salleh merupakan buku pertama beliau yang diterbitkan. Bekas pensyarah di Jabatan Inggeris, Universiti Malaya ini "bangga" buku pertamanya hanya terbit ketika beliau berusia 46 tahun. Buku ini lebih dari sekadar ilustrasi "ghairah" wanita berpunggung lebar yang mencangkung. Bukan juga menulis semata-mata berpaksikan dendam, keliru dan amarah. Adakala uncle Salleh santai mengejek dirinya sendiri. Selepas puas ber-Monolog Atas Bendul, dia mabuk menari dalam Rentak Haram Jadah, sambil melibaskan Selendang Maut...

Selasa, 19 Oktober 2010

Lagu Saduran

Bayangkan situasi ini:

Anda tinggal di flat. Di suatu ketika anda ter-curi dengar seorang jiran yang sedang menyanyi sambil bersiram. Lontaran vokalnya saja cukup mempersona. Tiba-tiba anda ketawa disebabkan terdengar beberapa bait lirik yang telah di-modified oleh sang penyanyi itu, melucukan juga.

Dalam awal tahun 90-an, zaman bersekolah menengah ada seorang teman bernama Amron. Personaliti beliau yang agak sedikit  morbid namun sering berlucu santai acapkali membawa persoalan dalam jiwa muda saya. Ketika itu irama DISKO DANGDUT atau ringkasnya DISKO-DUT dari seberang menjadi fenomena. Tidak tahu sangat saya nak menghuraikan apa itu disko-dut, barangkali dangdut berjiwa progresif? ha ha ha.

Baiklah, sebuah lagu nyanyian Farid Harja "Romantika D'Amor" (sila Google) boleh dikata agak popular di corong radio ketika itu, malah pelawak Salleh Yaacob pernah merakamkan versi saduran beliau sendiri bertajuk "Romantika Di Tampoi". Lagu itu bukanlah malar segar pun... barangkali cuma one hit wonder yang datang dan pergi, meletup dek kerana iramanya senang, liriknya kacang dan sedikit meraban. Di suatu masa, atas pengaruh populariti lagu itu, teman yang gila-gila bahasa ini secara tak sengaja mengubah korus lagu itu menjadi:

"Romen di atas tikarrrrrr..." ha ha ha ha. Berulang kali.
"Romen di atas tikarrrrrrrrrrrrrrr!!!!" Kuat lagi.

Kata orang, kalau sudah majal... itulah yang terjadi pada Amron. Saya melihat dia di tampar oleh seorang cikgu yang kebetulan telah menghidu keterlanjuran Amron terlebih dahulu, tanpa disedari sesiapa. Niatnya nak menghiburkan kawan, cuba berlagu riang namun undang-undang sekolah, tetap undang-undang.

Hampa

Ini memang posting yang agak potong stim.

"Aku rasa orang macam aku ni tak sesuai tinggal di Malaysia"

"Kenapa?"

"Kau tengok ajalah. Sistem pentadbiran, sistem politik, sistem perundangan bla bla sistem pengairan bla bla bla bla sistem e-perolehan bla bla semuanya menyakitkan hati aku. Kau tengok, pot pet pot pet kadar kecairan pot pet pot pet unjuran kewangan prop prep prop prep melayu mudah lupa pot pet pot pet bajet ciput prap prep bla bla.. Low class! Macam ni bila nak maju?! Aku memang betul-betul dah tak tahan lagi dengan semua ni!!!"

"Habis kau nak pergi mana?"

"Aku terasa nak cari kerja di New Zealand lah, tak pun mana-mana lah yang kat obersi tu.."

"Kau nak kerja apa? Nak petik buah kiwi? Nak bikin group macam Aishah & The Fan Club tu ke?"

"Ha? Ada orang nama Aishah ke kat New Zealand tu?"

TAMAT

 p/s:
"Mak teruja engko dapat status Glitterati kat Nuffnang, Huh, meletopzzz u allzz, tapi mak kekal lebih "glitter" dari engko. Jangan OVER ok, baru 3 hari dah nak tunjuk diva." MAMA AUWZIE

Sentimen dan Halwa Telinga

"And all the best women are married
All the handsome men are gay
You feel deprived"
 

Seni nyanyi pop lenggok kapitalis adakala datang mengusik dengan nada melankolik. Ini kerana perasaan murung adalah antara jenis perasaan yang paling teruk dieksploitasikan secara komersil (untuk pasaran  massa) mahu pun secara syok sendiri (untuk "pasaran" Youtube). Seringkali mencuit rasa juga adanya, apatah lagi bila disenandungkan oleh sang playboy kacak yang berpunggung pejal, bermata seksi dan kaya-raya. Namun "Supreme" tetap sebuah lagu yang mengusik jiwa. Lirik dan melodinya bagus kedengaran...

Sakit Jantung

Okay, waktu untuk pandangan lemah, longlai, gedik dan tidak bermaya. Memang dalam perkara senang seperti menyatakan mahu dan tidak mahu itu sahaja pun sebuah perlakuan yang political. Inikan pula dalam menjalankan dasar perjuangan, revolusi dan... apa lagi dalam mengadu domba, membelasah, melibas, meng-kencing, berbohong malah merogol-rogol sesama sendiri. Aku tidak harus bazirkan hidup dengan terlalu banyak pengaruh politik (dalam acuan parti / ideologi). Terlalu banyak yang ingin aku lakukan sebelum tamat riwayat ini. Ignorance is bliss?. Namun politik kini, untuk lewat umur ku yang macam gini, sebenarnya terasa terlalu kasar.  Aku tak mahu di-sakit-kan dan menyakiti. Rasanya diriku lebih tenang, cemerlang dan terbilang sebagai Average Joe yang cilanat, hampeh dan narcissistic ha ha.  (Romantika marhain nampak, ada MAK kesah???!! - Mama Auwzie) Apa pun jua, aku berhak berasa gembira kerana kos pembedahan pintasan jantung bukanlah semurah harga surat cuti sakit. Malah, aku tak punya keluarga kaya, apa lagi pengikut setia yang sedia mengutip dana menampung pembedahan. Harapan sebenar cumalah diri sendiri, demikianlah fatwa pujangga (tengkorak engko Hasam Haram!)

Isnin, 18 Oktober 2010

Be Original

Diri ini ada mendengar wujud beberapa istilah seperti "traditionalist", "puritan" dan entah apa kejadahnya lagi yang berkait dengan kekentalan konsep dan nilai sesuatu karya atau ciptaan. Mencuba untuk menjadi "original" atau tulen dalam penghasilan karya adakalanya berakhir tragis dan penuh penafian. Menjadi "original" atau orijennel kata orang Jawa itu sebenarnya adalah rangkuman kehendak, ego serta segala macam pe'el manusia dalam mengatasi rasa haus dan dahaga terhadap sesuatu yang bernama penerimaan. Perkataan "menjadi" itu rasanya tak boleh duduk rapat dengan perkataan "original". Ia akan jadi (sebagai contoh):

"Meon melakukan pelbagai ikhtiar dalam memastikan dirinya kelak berada dalam golongan penulis blog berstatus elit. Dia beriya-iya ingin menjadi seorang blogger yang orijennel. Dia yakin akan tahap ketulenan cara penulisan dan ideanya bakal di terima ramai. Dia dahagakan penerimaan, lantas ekspresinya naik mencanak, secara rela mahupun paksa. Menurut beliau penuh kusyuk dan tawaduk,"Idea perlu dicerna."

Namun, rejjeki bukan mutlak di tangan Meon. Dia kecewa kerana percaturannya silap. Penulisannya di cerca, kotak komennya di-spam, dirinya terhina. Namun kenyataanya, usaha jitu akhirnya tetap menerima balasan. Akhirnya dia membuka 48 bijik blog dan laman muat turun 3GP sensasi masa kini.  Nama (samaran)nya masyhur terbilang.

Nota : kisah tidak benar

3.35

Salam sejahtera dan selamat datang. Blog ini bukanlah apa-apa, cuma nak berniaga! Ha ha ha.
-Rasa sehat bergelora