BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Sabtu, 5 November 2011

Buku Baru Latiff Mohidin

Salam kembara.
Saya sengaja guna BARU, sebab saya tidak gemar perkataan BAHARU yang Dewan Bahasa guna sekarang (Dehewan Bahasa Guhana Sekaharang, gitu? mau?). Apalah yang wajib sangat nak pinda-pinda sebegitu?

Pada yang masih terkejut beruk dan berbuih mulut bersensasi perihal Henry Butcher berjaya melelong seketul Pago Pago lebih setengah juta RM, bawak bawaklah beristighfar dan puasa sunat ha ha ha ha. Sudah tentu, itu adalah siri lukisan ikonik Latiff Mohidin, ramai orang tahu (dan ter-sangat tahu). OK, ada baiknya jika anda cuba membeli dan seterusnya membaca BUKU INI Semoga beliau (sang penulis)  panjang umur murah rezeki selalu. Amin.

Nota Kaki: Saya pun masih belum beli, tapi tertanya-tanya adakah ia akan sekali lagi beri impak serupa (untuk diri sendiri) seperti buku GARIS - Dari Titik Ke Titik.

Jumaat, 4 November 2011

Sepetang Di Jalan Conlay

Sudah agak lama rasanya saya tidak pergi ke Bukit Bintang. Dahulu ada saya ke sana untuk mencari toko menjual majalah seni luar negara. Selain dari itu saya tidak banyak tahu. Sebaik keluar dari stesen Monorail, saya tiba-tiba berasa "mabuk",  ditelan bulat-bulat oleh persekitaran. Rentak dan irama temmpat ini serba rancak beragam. Kafe sisinya membayangkan gaya kontemporari ala Eropah. Mat salleh mundar-mandir, begitu juga si Arab dan pelbagai bangsa lagi, betapa kecilnya dunia.

Kaki melangkah sepanjang Pavilion (bagus nama bangunan ini!). Pemandangan sekitar sini lebih hebat. Senibina moden serba canggih, fungsi senibina dirasai walau sekadar di ruang pejalan kaki. Kelihatan pengunjung seakan terserap auranya yang sofistikated dan gah. Plastik tetapi indah dalam pengertian tersendiri. Saya kian mabuk. Terusan melangkah sehingga terlajak melewati lintasan pejalan kaki untuk ke Jalan Conlay. Bahang mentari menjilat-jilat lengan dan wajah. Berpeluh-peluh saya menapak kembali ke lintasan tadi. Kalau diturutkan kealpaan tadi, terpaksa saya menunggu sangat lama untuk melintas kerana aliran trafik semacam tidak surut-surut. Jika nasib malang, boleh pula menyusahkan para pemandu sekiranya terjadi nahas saya tergolek dilanggar kenderaan gara-gara melintas di tempat yang salah. Kerana itu ada yang menjengil mata tanda "Hey manusia! Jangan kau cuba nak melintas", maafkan saya.

Lama sungguh tidak menjenguk Kompleks Kraf Jalan Conlay. Hajat hati nak bertemu pak cik Harris (Harris Ribut). Sejak jam 9 pagi tadi beliau sudah resah ber-SMS bertanya lokasi semasa saya. "Ahh.. Aku ini selalu saja buat orang jadi susah, sorry Pak Haris!" bentak hati saya. Sebenarnya saya terleka melayan seorang sahabat yang bertamu ke rumah pagi tadi. Sekarang hampir waktu Zohor barulah saya tiba ke Jalan Conlay. Suasana jadi mendung, tiba di sana pula saya bertanya kepada jaga yang bertugas dan kemudian pada Adeputra (yang rancak bersembang sambil hisap Surya) mengenai arah lokasi galeri Pak Harris. Apa lah nak jadi pada saya, semuanya serba sesat dan keliru hari ini.

Petang ini saya meluangkan masa "bersalai" di perkampungan pelukis. Bak kata Pak Harris, kita perlu masa untuk charge bateri, terutamanya apabila diri dan lukisan jadi tidak bermaya dan motivasi terkacau dan sedikit merundum. Di sana saya banyak mendengar bual bicara pelukis, sangat sedikit saya bercakap, apa lagi nak menonjolkan diri. Para pelukis di sini rata-rata bukanlah orang yang muda sangat. Jadi ada baiknya saya sapu bersih pengalaman mereka dari sibuk menyatakan hal saya (melainkan bila ditanya).

Lepas makan, saya dibawa Pak Haris melawat persekitaran kawasan yang selalunya cuma wujud dalam impian sahaja. Jika terlihat orang melukis di jalanan pun sudah membikin saya termengah-mengah menahan nafas, ini kan pula bila berada di kawasan yang dipenuhi pelukis, lukisan, arca, lakaran, segala macam pigment, kanvas, liquin dan apa sahaja yang berkait seni halus. Sempat saya bertemu dengan ramai pelukis di sana seperti Kasbi Sarbini yang berjanggut putih lebat. Jika anda beli majalah Mastika zaman dulu, pasti pernah melihat banyak ilustrasi ilustrasi muka hadapan yang serba mistik dan ngeri yang dihasilkan oleh Kasbi Sarbini. Wak Kasbi ini orang Jawa yang ceria, sambil melukis detailing landskap hutan pun dia mampu bergurau dan adakala dia berseteru dengan Pak Harris dalam bahasa Jawa, jadi kita tidak boleh masuk campur kerana itu bahasa wali-wali bak kata abang Ajis, ha ha.  Saya melihat sahaja dan tumpang ketawa. Selain itu terima kasih buat abang Ajis juga atas nasihat dan perkongsiannya, Insya Allah saya akan terus "berani mati". He he. Kelihatan juga pelukis XXXX (biarlah rahsia...) yang kelihatan mundar-mandir keliling kompleks berjogging waktu petang dengan memakan jeans dan safety boots, satu pengalaman baru... Kombinasi unik antara pelukis, gaya dan penjagaan kesihatan! Hujan yang turun petang itu membawa suasana yang mendamaikan dan sedikit sayu, namun tak seorang pun pelukis yang tidur,  masing-masing berkerja, walau usia sudah separuh abad. Itu satu motivasi buat sesetengah jiwa yang muda-muda lagi sudah kering dan tandus.

Hampir 6 petang. Pak Harris ternanti kehadiran anak beliau, tiba masa untuk kami pulang. Dalam kereta kami bersembang lagi tentang sketches, skteches, Khalil Ibrahim, sketches, sketches, Khalil Ibrahim, sketches, sketches dan Khalil Ibrahim dan sketches lagi sampai ke Shah Alam. Dua topik utama, sketches dan rakan beliau pelukis veteran Kahlil Ibrahim (usia 77 tahun). Pak Harris seorang yang sangat mengambil berat soal sketching dalam lukisan dan saya pula seorang yang selalu mengambil enteng soal sketching dan pasif dalam dokumentasi karya. Saya insaf di situ, baik atau buruk harus disimpan kerana setiap sketches harian itu merupakan nota rakaman kehidupan yang tidak mungkin ada gantinya. Terima kasih buat Pak Harris dan semua warga Conlay. Saya cuba untuk kembara ke bahagian lain pula selepas ini. Rasanya saya tidak takut menjadi stranger, walau dilubuk mana sekali pun. Apa yang penting saya mampu bertukar fikiran dan tidak membiar diri membeku dalam keasingan.

Rabu, 2 November 2011

Perempuan Gemuk

Lama benar rasanya saya tidak mengirim bingkisan di blog yang berkelana sepi ini. Banyak faktor yang mnegekang, komputer rosak, broadband tak bayar (hahaha), jadi saya lebih senang meluangkan masa untuk menumpu perhatian terhadap usaha menjana ilham dan kerja seni. Pagi tadi saya berbual dalam talian telefon dengan pak cik Haris Ribut. Buat yang tiada tahu, pak cik Haris ini merupakan seorang artis visual yang dikenali kerana trademark perempuan gemuk dalam karya lukisan beliau. Namun di sini saya tidak berniat untuk bercerita isi perbualan kami. Sebaliknya, menjelma pula hal lain yang berdetik di hati bertitik tolak dari perbualan kami.

Kaya
Masyhur
Lebat
Kencang
Asyuuuukkk...

BERLAWANAN DENGAN:
Kena caci
Rumah kena lelong
Dapur tak berasap
Bini lari
Tidur bawah jambatan

Di sini saya rasa agak tertarik dengan fantasi pelukis, tapi bukan "fantasi" atau subjek, gaya, bla bla  bla pada hasil lukisan mereka. Maksud saya, pemerhatian itu lebih terhadap psikologi sang pelukis. Harapannya, motivasinya, "angin"-nya, visinya dan entah apa kejadah lagi yang berwarna-warni penuh ragam. Buat pelukis yang belum mencapai tahap "pelukis iktisas" atau terkenal dan digilai collectors, menyara diri dengan hasil seni dirasakan sungguh tidak masuk akal dan meggelikan hati. Ibarat menanti Lady Gaga membuat cover version gaya tekno lagu "Di Ambang Sore". Ada seorang teman menyapa sinis pada teman yang lain "kalau tak mahu dihambat kemiskinan tegar, tak usah kau berangan jadi pelukis". Pedih dan tajam, tapi ada benarnya. Namun macam asid, ada cara untuk meneutralkannya. Kisah kejayaan dan suka duka artis/ pelukis lain yang memberi inspirasi. Buat pelukis yang lasak bergasak di arena melangsungkan hidup, hal ini menjadi dilema : HENDAK TERUSKAN? TAK MAHU TERUSKAN? NAK? TAK NAK? NAK? TAK NAK? NAK? TAK NAK? Alangkah senang kiranya proses hidup pelukis itu semudah menjamah apam di pagi hari...

Jawapannya mudah, tepuk dada tanya selera. Kita semua bermula dari satu titik yang sama. Lupakan dahulu peranan nasib, "cable" mistik dan magis yang bisa membikin pendapatan anda jadi "kencang". Lupakan sejenak perihal sukses gilang gemilang penuh panca warna. Tapi jika anda tahu apa yang anda buat dan tahu ke mana anda nak pergi, selamat berusaha dan berjaya setulus hati diucapkan. Kekuatan diri tidak datang dari tonasi suara yang men-jantan atau lengan yang kenyal berketul-ketul. Ia datang dari pemahaman tentang hidup ini, soal mengenal diri kita sendiri, JELAS tentang fungsi dan matlamat dari kewujudan kita semua di dunia ini. Tak faham? Itu susah nak diterangkan dengan lebih jelas lagi.