BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Jumaat, 5 November 2010

Syahdu Pagi Deepavali

Saya singgah di sebuah bank konvensional pagi tadi atas urusan pemindahan wang merangkap derma bakti untuk adik yang bersendirian, nun jauh di rantauan. Hah! Macam dah berjanji pula, saya terpandang satu susuk tubuh yang sangat dikenali. Teman lama sewaktu di sekolah menengah.

"Din" dia menyapa sambil menghulur tangan. Wajahnya bengis, matanya bulat, sedikit tiada senyum. GG tersengih memerhati dari jauh, dia sudah faham.
Walaupun "Din" bukanlah nama saya seperti yang terpapar di kad pengenalan, namun itulah panggilan nama yang beliau berikan untuk saya, SETIAP kali bersua, dan setiap kali bersua pun atas kehendak takdir, tidak pernah pula berjanji temu.

"Din, kau ada rokok?". Saya hulurkan padanya sebatang.
Kemudian...
"Aku tau tengok muka kau mesti ada rokok, sebab tu aku kenal kau... Din, aku dengar Angah kerja bawak bas sekarang, betul ke?" seraya berlalu tanpa sempat saya memberi jawapan.

Seperti biasa, tiap kali dia berlalu pergi, saya berasa seperti "kesurupan" dalam bersyahdu. Dia dahulu seorang kawan yang periang dan sering jadi tumpuan kerana jenakanya yang high class. Beliau ada identiti tersendiri, disukai ramai kawan. Kami pernah bermain dalam satu pasukan bolasepak yang sama, seorang penjaga gol yang baik. Namun kini hidupnya seperti membeku, apa yang diperkatakannya selalu berkait soal hidup 19 tahun yang lalu. Gaya bahasanya sama, seperti zaman awal remaja kami. Sesekali beliau gemar bertanya tentang sahabat lama, termasuk sahabat yang sudah lama meninggal dunia! Saya tiada berani mengatakan beliau sebagai gila, namun hati kecil berdoa agar beliau sihat selalu, dan hidup "sempurna" sebagai golongan bertuah yang terselamat dari dugaan menanggung dosa.

2 ulasan:

  1. Kawan lama. Kasihan melihatnya, sila wiki dengan carian "mental disorder" atau "mental illness" untuk info lanjut.

    BalasPadam