BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)
Memaparkan catatan dengan label nikmat hujan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nikmat hujan. Papar semua catatan

Jumaat, 26 November 2010

Mandi Hujan

Bingkisan kali ini berbicara soal mandi air hujan. Main hujan adalah satu perlakuan yang sinonim dengan dunia kanak-kanak. Hujan memberi sensasi dingin pada tubuh. Hujan juga adalah kebasahan yang dinanti-nanti pada mereka yang jarang dapat peluang mandi di sungai, laut atau hutan lipur. Main hujan juga menjurus ke arah kemarahan dan barangkali hingga menerima "libasan pari" dari ibu bapa. Apa pun dugaannya, mandi hujan tetap digemari kebanyakkan kita masyarakat Asia Tenggara (mana fakta dan statistik soheh yang kau pakai ni Karim? - Mama Auwzie) dan mandi hujan juga sangat didambakan oleh musafir kelana di Gurun Gobi atau Sahara.

Namun bagi mereka yang kekal gemar bermain hujan di usia dewasa, pendapatnya berbeza. Dalam kajian ringkas ini, nama pihak yang menjadi kajian kes terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan adu domba dan buruk sangka. Bersekutu dengan hujan sebenarnya membawa manifestasi asas fitrah manusia iaitu ingin selalu berdamping dengan alam. Bermandi hujan memberi isyarat bahawa hujan itu harus diraikan, pada yang mahu. Jika tidak percaya, tanyalah pada tanam-tanaman, itu pun jika tanaman boleh menjawab kembali. Namun begitu, adalah disarankan tidak bertanya soalan yang sama pada mangsa banjir, dikhuatiri akan menyentuh jiwa.

Seperti dalam memahami pelbagai perkara di dunia ini, kita perlu sedikit ilmu dan budi bicara. Anda tidak digalakkan bermain hujan di waktu awal hujan turun kerana air hujan ketika itu sarat dengan "kotoran" dan mampu menyebabkan demam. Begitu juga dengan hujan panas, tidak indah untuk diraikan kerana ia turun tidak lama dan cepat menyentak suhu badan anda. Akhir sekali, janganlah bermain hujan di waktu petir sabung menyabung (sila kaji jenis-jenis hujan kategori "berbahaya" untuk info lanjut), kerana anda sebenarnya menyabung nyawa dalam mendapatkan secebis rasa bahagia.