BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Isnin, 8 November 2010

Ulam Raja

Segmen "makanan sihat" kali ini membawa anda menyelusuri belakang rumah anda. Pada yang gemar bertani, cubalah menanam tumbuhan yang dikenali sebagai ULAM RAJA. Sebenarnya, penulis amat menggemari ulam raja untuk dijadikan ulam setiap kali makan nasi. Rasanya seringkali memukau selera. Cubalah menikmatinya, anda akan terasa seperti raja, itulah semangat yang terlindung dalam setiap helaian daun ulam raja. Walaupun prestijnya tidak dapat menyaingi daun salad ataupun tomato kecil, ulam raja tetap mempunyai rahsia kebaikan yang tersendiri.

Tumbuhan ulam raja atau nama saintifikya cosmos caudatus (bahasa Inggerisnya King Salad, wow!) enak dimakan bersama sambal belacan, budu, tempoyak dan cencalok. Menurut sejarah, ulam raja sebenarnya berasal dari Amerika Latin, tumbuh meliar secara semulajadi di kawasan belukar dan hanya dibawa ke Asia Tenggara oleh penjajah Sepanyol ke Filipina dan kemudiannya di bawa ke Malaya oleh sesiapa sajalah (perlu kajian lanjut).

Raja segala ulam ini mempunya khasiat yang amat dasyat dan jarang diketahui kebanyakan kita. Memakannya akan membantu kita memperbaiki peredaran darah dan mencuci darah, serta dapat menguatkan tulang. Keupayaan antioksidanya (AEAC) juga sangat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik. Melebihi dua puluh jenis bahan antioksida telah dikenal pasti dalam ulam raja. Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik, serta penangkap (+)-. Keupayaan ulam raja untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi. (dicedok bulat-bulat dari wikipedia sebenarnya)

Pengaruh ulam raja juga dapat di lihat di dalam dunia perfileman. Jika anda masih ingat, terdapat watak Ismet Ulam Raja di dalam filem klasik 3 Abdul. Malah ulam raja dijadikan nama jalan di sebuah tempat di Shah Alam. Akhir kata, saya menyarankan agar anda semua mengamalkan cara makan berulam untuk memastikan anda tidak perlu berdangdut untuk mengempiskan perut yang gendut, malah harga ulam raja amat berpatutan. Ingat, anda adalah apa yang anda makan, jadi makanlah ulam raja, demi kesejahteraan bersama. Wassalam.

3 ulasan:

  1. nampaknya dokumentari ULAM RAJA ini tiada mendapat sambutan, ha ha ha ha

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Pembaca blog lebih menggemari burger rusa dari ulam raja. jajaja

    BalasPadam