BERDENGUNG SEJAK OKTOBER 2010 - SEGALANYA DI SINI MENGGAMMIT MEMORI (Ala-ala Klasik Nasional FM)

Jumaat, 22 Oktober 2010

Aku Budak Minang

Dihanyutkan ke air yang deras,
dibuangkan ke tanah yang gersang..

Semua bermula di hujung tahun 80-an. Zaman abah saya mendengar keputusan bola sepak melalui radio berkuasa bateri (tiada elektrik di tempat tinggal saya, guna generator saja). Zaman ternanti-nanti siapa juara Pujaan 10 Nescafe setiap pagi Ahad (hingga kini masih menghafal jingle-nya). Zaman artis tempatan masih boleh jual kaset sampai 200,000 unit. Zaman keluarga saya bergelak (malah adakalanya berguling) sakan menonton sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu...

Baiklah, kisah bermula. Selepas mengumpul sedikit wang hasil dari penjualan handle dan sepit udang basikal lama kepada abang sepupu dan sedikit upah membeli ubat nyamuk (ye la tu!!), saya berjaya membeli beberapa buku. Antaranya seperti Biggles di Timur (edisi 1979, seken-hen, kisah perang), Lari Dari Esok (nama blog ini, juga sebuah translasi, Escape From Tomorrow karya asal Sereta Lanning) dan yang pastinya tidak kurang mengujakan : koleksi AKU BUDAK MINANG.(info lanjut dari blog lama saya yang kehilangan kata kunci sejak 2007, aduh!)

Waktu itu pesta ria (funfair) agak popular, dan saya punyai seorang mak cik yang muda belia dan sangat rapat dengan saya ketika itu. Kesukaannya ialah "mencolek" saya untuk dibawa keluar, "Nak ikut acik tengok konsert tak? Nanti acik belanja oren botol". Kerana kelicikan beliau memujuk dan merayu jugalah saya berkesempatan menyaksikan persembahan artis seperti kugiran gitar rancak Rockers dari Singapura, Alleycats, Medicine, Skyfire (Bibiyana Layola dan Ochee) dan beberapa nama lagi.

Namun yang paling seronok ialah apabila mendapat koleksi original ABM (cetakan pertama 1988) siap dengan tandatangan penulis/ pelukisnya sendiri, Ujang! Seingat saya, tengah hari yang terik itu dirasakan amat dingin dan membahagiakan, dan malamnya pula saya terlupa makan nasik. "Konyang dek Ujang yo lah kau!" kata emak.

"Kau ingat buat kartun macam buat lempeng?" - UJANG

4 ulasan:

  1. dulu rumah pakcik kat ipoh penuh dengan komik2. dia berak mesti sambil baca komik.

    BalasPadam
  2. aku pun suka gila dgn koleksi Ujang, especially ABM. Masih simpan sampai sekarang walaupun dah lunyai.

    BalasPadam