Sudah agak lama rasanya saya tidak pergi ke Bukit Bintang. Dahulu ada saya ke sana untuk mencari toko menjual majalah seni luar negara. Selain dari itu saya tidak banyak tahu. Sebaik keluar dari stesen Monorail, saya tiba-tiba berasa "mabuk", ditelan bulat-bulat oleh persekitaran. Rentak dan irama temmpat ini serba rancak beragam. Kafe sisinya membayangkan gaya kontemporari ala Eropah. Mat salleh mundar-mandir, begitu juga si Arab dan pelbagai bangsa lagi, betapa kecilnya dunia.
Kaki melangkah sepanjang Pavilion (bagus nama bangunan ini!). Pemandangan sekitar sini lebih hebat. Senibina moden serba canggih, fungsi senibina dirasai walau sekadar di ruang pejalan kaki. Kelihatan pengunjung seakan terserap auranya yang sofistikated dan gah. Plastik tetapi indah dalam pengertian tersendiri. Saya kian mabuk. Terusan melangkah sehingga terlajak melewati lintasan pejalan kaki untuk ke Jalan Conlay. Bahang mentari menjilat-jilat lengan dan wajah. Berpeluh-peluh saya menapak kembali ke lintasan tadi. Kalau diturutkan kealpaan tadi, terpaksa saya menunggu sangat lama untuk melintas kerana aliran trafik semacam tidak surut-surut. Jika nasib malang, boleh pula menyusahkan para pemandu sekiranya terjadi nahas saya tergolek dilanggar kenderaan gara-gara melintas di tempat yang salah. Kerana itu ada yang menjengil mata tanda "Hey manusia! Jangan kau cuba nak melintas", maafkan saya.
Lama sungguh tidak menjenguk Kompleks Kraf Jalan Conlay. Hajat hati nak bertemu pak cik Harris (Harris Ribut). Sejak jam 9 pagi tadi beliau sudah resah ber-SMS bertanya lokasi semasa saya. "Ahh.. Aku ini selalu saja buat orang jadi susah,
sorry Pak Haris!" bentak hati saya. Sebenarnya saya terleka melayan seorang sahabat yang bertamu ke rumah pagi tadi. Sekarang hampir waktu Zohor barulah saya tiba ke Jalan Conlay. Suasana jadi mendung, tiba di sana pula saya bertanya kepada jaga yang bertugas dan kemudian pada Adeputra (yang rancak bersembang sambil hisap Surya) mengenai arah lokasi galeri Pak Harris. Apa lah nak jadi pada saya, semuanya serba sesat dan keliru hari ini.
Petang ini saya meluangkan masa "bersalai" di perkampungan pelukis. Bak kata Pak Harris, kita perlu masa untuk
charge bateri, terutamanya apabila diri dan lukisan jadi tidak bermaya dan motivasi terkacau dan sedikit merundum. Di sana saya banyak mendengar bual bicara pelukis, sangat sedikit saya bercakap, apa lagi nak menonjolkan diri. Para pelukis di sini rata-rata bukanlah orang yang muda sangat. Jadi ada baiknya saya sapu bersih pengalaman mereka dari sibuk menyatakan hal saya (melainkan bila ditanya).
Lepas makan, saya dibawa Pak Haris melawat persekitaran kawasan yang selalunya cuma wujud dalam impian sahaja. Jika terlihat orang melukis di jalanan pun sudah membikin saya termengah-mengah menahan nafas, ini kan pula bila berada di kawasan yang dipenuhi pelukis, lukisan, arca, lakaran, segala macam pigment, kanvas, liquin dan apa sahaja yang berkait seni halus. Sempat saya bertemu dengan ramai pelukis di sana seperti Kasbi Sarbini yang berjanggut putih lebat. Jika anda beli majalah Mastika zaman dulu, pasti pernah melihat banyak ilustrasi ilustrasi muka hadapan yang serba mistik dan ngeri yang dihasilkan oleh Kasbi Sarbini. Wak Kasbi ini orang Jawa yang ceria, sambil melukis
detailing landskap hutan pun dia mampu bergurau dan adakala dia berseteru dengan Pak Harris dalam bahasa Jawa, jadi kita tidak boleh masuk campur kerana itu bahasa wali-wali bak kata abang Ajis, ha ha. Saya melihat sahaja dan tumpang ketawa. Selain itu terima kasih buat abang Ajis juga atas nasihat dan perkongsiannya, Insya Allah saya akan terus "berani mati". He he. Kelihatan juga pelukis XXXX (biarlah rahsia...) yang kelihatan mundar-mandir keliling kompleks berjogging waktu petang dengan memakan jeans dan
safety boots, satu pengalaman baru... Kombinasi unik antara pelukis, gaya dan penjagaan kesihatan! Hujan yang turun petang itu membawa suasana yang mendamaikan dan sedikit sayu, namun tak seorang pun pelukis yang tidur, masing-masing berkerja, walau usia sudah separuh abad. Itu satu motivasi buat sesetengah jiwa yang muda-muda lagi sudah kering dan tandus.
Hampir 6 petang. Pak Harris ternanti kehadiran anak beliau, tiba masa untuk kami pulang. Dalam kereta kami bersembang lagi tentang sketches, skteches, Khalil Ibrahim, sketches, sketches, Khalil Ibrahim, sketches, sketches dan Khalil Ibrahim dan sketches lagi sampai ke Shah Alam. Dua topik utama, sketches dan rakan beliau pelukis veteran Kahlil Ibrahim (usia 77 tahun). Pak Harris seorang yang sangat mengambil berat soal sketching dalam lukisan dan saya pula seorang yang selalu mengambil enteng soal
sketching dan pasif dalam dokumentasi karya. Saya insaf di situ, baik atau buruk harus disimpan kerana setiap sketches harian itu merupakan nota rakaman kehidupan yang tidak mungkin ada gantinya. Terima kasih buat Pak Harris dan semua warga Conlay. Saya cuba untuk kembara ke bahagian lain pula selepas ini. Rasanya saya tidak takut menjadi
stranger, walau dilubuk mana sekali pun. Apa yang penting saya mampu bertukar fikiran dan tidak membiar diri membeku dalam keasingan.